Wednesday, October 5, 2011

Barisan Peserta Kejohanan Match Racing Malaysia Diumum

Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa akan menjadi tumpuan apabila ia menjadi tuan rumah edisi keenam Kejohanan Match Racing Malaysia (MMRC) yang bermula dari 7 - 10 Oktober 2011.

Kejohanan tahunan ini akan menyaksikan lapan pasukan pelayaran tempatan yang bertanding untuk peluang mewakili Malaysia di Piala Monsun, yang akan berlangsung dari-22-27 November 2011 di lokasi yang sama di Terengganu.

Juara bertahan MMRC, Jeremy Koo, mengetuai barisan dengan harapan tinggi untuk mengekalkan gelaran. Setelah mengemudi pasukannya kepada kemenangan tahun lepas, Koo yakin bahawa pengalaman yang lalu berguna dalam meningkatkan prestasi tahun ini. Beliau berkata, "Setiap pasukan adalah berpotensi untuk melawan kami. Kami tidak mengambil ringan mana-mana pasukan."

Selepas kehilangan gelarannya kepada Koo dan jatuh ke tempat 3 tahun lepas, Juara MMRC 2009, Hazwan Hazim kembali untuk membalas dendam dengan penaja dan juru taktik yang baru. Beliau berkata, "strategi utama kami adalah untuk mendahului dari awal, menggunakan beberapa taktik dan mengatasi lawan kami."

Beliau berharap rakan sepasukan baru, Nik Ashraf Qaedi, yang mahir dalam perancangan taktikal, akan memberinya kelebihan yang amat diperlukan.

Pemenang MMRC 2008, Nurul Ain Md Isa, juga kembali diatas permintaan popular. Tiga tahun lalu, Nurul memenangi MMRC bersama-sama dengan Hazwan Hazim dan tidak bertanding dalam acara itu sejak kemenangan terakhir.

Tetapi penajaan baru dari Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, yang diterajui oleh Pengurus Besar, Abdul Shaheed Yusof, melihatkan penampilannya untuk merebut peluang mengatasi saingan peserta lelaki.

Angkatan Tentera Malaysia juga yakin bahawa dua pasukan mereka, MAF1 dan MAF2 akan dapat menonjolkan prestasi yang baik kerana mereka telah menyertai MMRC setiap tahun dengan konsisten sejak permulannya pada tahun 2006. Kedua-dua pasukan telah menjalani latihan untuk meningkatkan prestasi dan keyakinan mereka.

Mohd Affendy, yang juga merupakan Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia, mengetuai pasukan keluarganya, Team Affendy. Beliau merupakan seorang pengemudi yang berpengalaman setelah mengambil bahagian dalam banyak acara pelayaran termasuk Malaysia Challenge, Raja Muda Regatta, Royal International Regatta, King Cup, Top of the Gulf, Sail the Gulf, Straits Singapore Regatta, dan banyak lagi.

Menurut Affendy, kunci kepada kejayaan bukan sahaja menang stetapi juga meningkatkan mutu sukan pelayaran.

Satu lagi pasukan keluarga, Melaka Negeriku Sayang, melihat Ahmad Khairulhafiz Ahmad Khmbali dan anak-anaknya yang mengharapkan peluang untuk melayakkan diri ke Piala Monsun. Tidak asing lagi dengan match racing, Ahmad sebelum ini telah menyertai MMRC tahun lepas. Beliau berharap 10 tahun pengalamannya dalam pelayaran dan bersaing akan membantu pasukannya merangkul kejohanan dan membawa kebanggaan kepada kampung halaman tercinta.

Bagi Mohd Romzi Muhamad, kerja berpasukan yang baik dan amalan teknikal yang konsisten adalah faktor utama untuk kejayaan. Obsesinya terhadap sukan pelayaran bermula ketika beliau masih di sekolah rendah dan telah mendorong beliau untuk bersaing di peringkat global di Jepun, Korea, China, Perancis, Doha dan Amerika Syarikat dalam kelas perahu kecil. Pasukannya yang terdiri daripada pelayar-pelayar negara bersedia untuk menakluk gelaran Juara MMRC buat kali pertama.

Semua aksi hebat akan bermula esok, dengan ketibaan pasukan di Pulau Duyong untuk pendaftaran dan latihan.

Kejohanan Match Racing Asia akan berlangsung sejurus selepas Kejohanan Match Racing Malaysia dari 12 hingga 15 Oktober, dengan kedua-dua pemenang secara automatik melayakkan diri ke Piala Monsun, yang merupakan pusingan akhir siri jelajah dunia World Match Racing Tour pada 22-27 November di lokasi yang sama di Terengganu.

No comments:

Post a Comment