Wednesday, October 5, 2011

IKIMfm Siar Dua Rancangan Khas Sempena Musim Haji Ini

Buat kali pertamanya pendengar Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) akan disajikan dengan dua rancangan sempena musim haji tahun ini iaitu Laporan Haji dan Debaran Mabrur yang akan disiarkan menerusi radio tersebut bermula 20 Okt hingga 11 Nov ini.

Pengarah Radio IKIMfm Nik Roskiman Abdul Samad berkata rancangan Laporan Haji akan disampaikan secara langsung oleh petugas radio itu, Nik Hasnah Ismail dengan membawakan berita terkini perkembangan jemaah haji Malaysia dari Mekah dan Madinah.

Katanya Laporan Haji akan disiarkan selama 10 hingga 15 minit pada jam 12.15 tengah hari, diikuti rancangan tazkirah Debaran Mabrur oleh penceramah jemputan yang akan bersiaran selama 10 minit pada 1.30 tengah hari, setiap hari Isnin hingga Jumaat.

"IKIMfm juga akan menyiarkan laporan khas kemuncak ibadah haji pada hari wukuf di Arafah, melontar jamrah dan sambutan Hari Raya Aidiladha dari Tanah Suci Mekah," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata program yang mendapat kerjasama Lembaga Tabung Haji dan tajaan Bank Rakyat (M) Berhad itu selain bermatlamat menyalurkan maklumat kepada pendengar khususnya umat Islam mengenai perjalanan ibadah haji, juga bertujuan mendidik umat Islam untuk lebih cenderung menunaikan ibadat pada usia muda.

Ditanya mengenai perbezaan rancangan terbitan radio itu berbanding media lain yang turut membuat liputan dari Tanah Suci Mekah, Nik Roskiman berkata IKIMfm akan cuba membongkar dan berkongsi falsafah di sebalik perjalanan ibadah haji kepada pendengar dalam bentuk penceritaan.

"Ia juga satu usaha kami dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap media bahawa kami juga berperanan dalam mendidik dan berdakwah kepada orang ramai, bukan sekadar medium hiburan semata-mata," katanya.

Turut hadir, Ketua Hal Ehwal Awam Bank Rakyat Saliman Zainal.

IKIMfm yang merupakan penyiar radio Islam tunggal negara boleh didengar menerusi frekuensi 91.5fm di Lembah Klang, Perlis 89.0fm, Kedah 89.0fm, Langkawi 89.0fm, Pulau Pinang 89.0fm, Ipoh 102.7fm, Negeri Sembilan 102.7fm, Melaka 89.5fm, Johor Baharu 106.2fm, Kuantan 89.6fm, Kuala Terengganu 100.2fm, Kota Baharu 89.8fm, Kuching 93.6fm dan Kota Kinabalu 93.9fm.

No comments:

Post a Comment