Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam atas dua pertuduhan cubaan bunuh seorang warga Indonesia dan memiliki senjata api tanpa lesen.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Abd. Rahman Abu Bakar, 55, dari Kampung Cacar Dungun dituduh cuba membunuh Alfiian Anwar, 44, yang bekerja kontrak dengan cara melepaskan tembakan mengunakan sepucuk pistol jenis Taurus .38 Special buatan Brazil.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira jam 4.30 petang, 17 Okt lalu di perumahan belakang Pasaraya Tunas Manja, Kampung Cacar Dungun dan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Bagi tuduhan kedua, Abdul Rahman didakwa memiliki selaras senjata api iaitu revolver jenis Taurus .38 Special buatan Brazil yang disimpan di sebuah stor di Kampung Cacar, Paka, Dungun yang menyalahi undang-undang.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti lebih berat) 1971 (Akta 37) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang enam kali.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu ketika ia dibacakan di hadapan Majistret Abd Hayyi Salim, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud@Mamat.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.
No comments:
Post a Comment