Wednesday, October 26, 2011

FRIM Hasilkan Biodiesel Daripada Sumber Bahan Bukan Makanan

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya menghasilkan biodiesel daripada sumber-sumber alternatif yang bukan berasaskan makanan seperti minyak jarak pagar, bintagor laut, perah serta bahan buangan industri.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata rancangan jangka pendek di peringkat FRIM ialah untuk menggunakan biodiesel adunan B5 untuk kenderaan berenjin diesel.

"Dianggarkan sebanyak 120,000 liter adunan biodiesel B5 akan digunakan setahun di FRIM.

"Ini akan menyumbang kepada penjimatan hampir 6,000 liter diesel fosil dan pengurangan kadar pembebasan karbon dioksida (CO2) sebanyak empat peratus atau 16,000 tan CO2 setahun," kata beliau kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Penggunaan Biodiesel Peringkat FRIM, di Selayang, semalam.

Abd Latif berkata satu liter penggunaan minyak diesel akan membebaskan 2.67 kilogram CO2 ke atmosfera bumi.

"Biodiesel keluaran FRIM mengandungi asid lemak yang rendah berbanding biodiesel daripada minyak kelapa sawit yang mempunyai kandungan asid lemak yang agak tinggi, maksudnya jumlah CO2 yang terlepas jauh lebih rendah berbanding biodiesel minyak kelapa sawit, tambahan pula hasil pembakaran biodiesel keluaran FRIM ini mengeluarkan bau yang wangi" katanya.

Bagi memaju dan mengembangkan produk biodiesel dengan berkesan, pemindahan teknologi penghasilan biodiesel telah dilakukan oleh saintis Program Biotenaga, FRIM dengan Xtra Tech Sdn Bhd, iaitu anak syarikat projek FMBioSis dengan bantuan dana pengkomersialan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia.

FRIM juga telah menubuhkan loji rintis bagi pengeluaran adunan biodiesel daripada campuran pelbagai bahan pemula seperti minyak jatropha, bintangor dan effluen industri pada Disember 2010 dengan keupayaan penghasilan 20,000 liter sebulan.

Beliau berkata FRIM juga mula menanam buah jarak pagar secara percubaan di kawasan tanah bermasalah seperti tanah berpasir di Stesen Penyelidikan Luar Setiu, Terengganu, untuk memajukan kawasan berpotensi dibangunkan secara berskala besar.

"Spesis-spesis hutan lain juga akan diteroka dalam usaha untuk membangunkan kawasan tanah bermasalah serta mewujudkan bekalan bahan mentah bagi penghasilan biodiesel yang mesra alam," kata beliau.

Biodiesel keluaran FRIM telah diuji oleh kenderaan FRIM seperti traktor, kenderaan pacuan empat roda dan bas.

Laporan saintifik biodiesel campuran ini menunjukkan prestasi enjin yang memberangsangkan, kurang pengeluaran asap hitam dan tiada pelepasan bahan pencemar.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Penyelidikan Dan Pembangunan Perhutanan Malaysia, Nancy Shukri.

No comments:

Post a Comment