Monday, October 24, 2011

ECERDC Tarik Pelaburan RM48 Bilion Setakat Ini

Projek KTCC yang dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bernilai RM5 bilion, akan bermula Januari tahun depan dan dijangka siap menjelang 2018.

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sehingga kini berjaya menarik pelaburan bernilai RM48 bilion daripada pelabur dalam dan luar negara.

Daripada jumlah pelaburan berkenaan, sebanyak RM20 bilion kebanyakannya dalam sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan industri pembuatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John.

“Kami menjangkakan lebih banyak pelaburan modal dari negara-negara Timur Tengah dalam masa terdekat kerana pelabur Timur Tengah sangat selesa dengan Malaysia memandangkan terdapat banyak persamaan dalam budaya dan adat resam,” kata beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pecah tanah dan pelancaran projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) ECER bernilai RM5 bilion, di sini Khamis, Issace berkata majlis itu kini dalam perbincangan dengan bakal pelabur dari Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar untuk mengenal pasti projek-projek yang berpotensi untuk pelaburan.

“Mereka berminat dengan kelompok pertanian ECER bagi memenuhi keperluan jaminan makanan mereka, pembangunan hab halal, peluang pelancongan, pendidikan dan industri petrokimia,” kata beliau.

Beliau yang mengakui keperluan untuk membangunkan insentif fiskal atau bukan fiskal bagi pelabur dalam ECER, berkata pelabur di wilayah itu menikmati insentif menarik direka khusus untuk wilayah berkenaan.

Insentif fiskal itu termasuk pengecualian cukai pendapatan sehingga 10 tahun, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan yang layak dan jualan pengecualian cukai.

Insentif bukan fiskal juga diberikan oleh kerajaan negeri masing-masing, yang termasuk kadar diskaun untuk premium tanah, cukai tanah dan penilaian tanah, jaminan tempoh pajakan tanah dan fleksibiliti dalam pekerjaan pegawai dagang.

“Dengan sokongan kukuh kerajaan serta memiliki tanah yang luas, sumber asli yang banyak, modal insan yang berkualiti adalah penting untuk memastikan ECER menjadi pintu masuk utama perdagangan dan industri,” kata beliau.

Projek KTCC dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Projek itu, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM5 bilion, akan bermula Januari tahun depan dan dijangka siap menjelang 2018.

Pembangunan berkenaan dianggarkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan lebih dari 82,000 orang menjelang 2020.

Projek tersebut berpusat di sekitar lima kawasan pembangunan utama, iaitu Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang dan Corniche Waterfront.

Issace berkata kerja infrastruktur utama di Muara Selatan termasuk pembinaan kerja-kerja tanah yang perlu, jalan raya, parit dan utiliti utama lain, bermula pada Ogos 2011 dan akan siap pada separuh kedua 2013.

Ini akan diikuti oleh reka bentuk dan pembinaan jambatan angkat dan kerja-kerja infrastruktur utama bagi Muara Utara.

No comments:

Post a Comment