Tuesday, October 25, 2011

Final Piala Malaysia - Lebih 10,000 Penyokong Terengganu ke Shah Alam

Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) menjangkakan lebih 10,000 penyokong Terengganu akan memberi sokongan moral kepada pasukan Penyu apabila bertemu Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Shah Alam, 29 Oktober ini.

Setiausaha Peteh, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, berkata Peteh akan menyediakan 10 buah bas untuk membawa penyokong dan peminat Terengganu ke pertandingan akhir itu nanti.

Beliau berkata, peminat dan penyokong Terengganu dijangka memberi sokongan hebat kerana ini adalah pemburuan kali kedua Terengganu untuk menjulang Piala Malaysia selepas muncul juara kali pertama 10 tahun lalu.

"Peteh akan mengadakan pendaftaran di pejabat persatuan itu pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari sehingga 28 Oktober," katanya kepada di Kuala Terengganu, kelmarin.

Wan Mohd Azmi berkata, Peteh akan menyediakan lebih banyak bas sekiranya pendaftaran itu mendapat sambutan peminat dan penyokong Terengganu, di samping pemberian percuma sehelai baju-T kepada penyokong yang mendaftar awal.

Beliau berkata, Peteh akan turut menjual aksesori pertandingan akhir Piala Malaysia seperti baju-T, kain rentang dan wig di hadapan pejabat Peteh mulai pukul 10 pagi hingga 12 malam dan di Stadium Shah Alam pada hari perlawanan.

Wan Mohd Azmi berharap peminat dan penyokong Terengganu memberikan kerjasama dan menyaksikan perlawanan itu dengan penuh semangat kesukanan bagi memastikan perlawanan berjalan lancar.

No comments:

Post a Comment