Tuesday, October 25, 2011

Sekolah Disaran Wujudkan Taman Herba

Sekolah-sekolah di negeri ini disaran mewujudkan taman yang ditanam dengan tumbuh-tumbuhan herba yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat, khususnya warga sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, selain memperkenalkan tanaman herba, program itu juga boleh melatih mereka mengamalkan pemakanan yang baik untuk kesihatan terutama dalam menggunakan tumbuh-tumbuhan herba.

"Usaha Universiti Malaysia Terengganu memperkenalkan tanaman ini ke sekolah-sekolah selaras dengan konsep Anjung Ilmu yang dibawa kerajaan dan melalui program ini banyak maklumat dan kajian boleh dijalankan mengenai tumbuhan herba yang tumbuh di bumi Terengganu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Penggalakan Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Terengganu, di semalam, beliau berkata, terdapat 66 jenis pokok herba di tanam di Taman Mini SMK Ibrahim Fikri di Kuala Terengganu.

Mengenai program itu, Ahmad Razif berkata, Program Penggalakkan Sains dan Teknologi mampu dijadikan landasan untuk pelajar sekolah di negeri ini lebih meminati mata pelajaran Sains.

Sebagai permulaan projek ini dijalankan di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri sebagai projek perintis kepada program ini, katanya

No comments:

Post a Comment