Azlas Jaafar membaca surah Yasin ketika menziarahi kubur arwah bapanya di Pusara Anggota Polis Peristiwa Bukit Kepong di Bukit Kepong, Johor, baru-baru ini.
Azlas Jaafar,62, akhirnya berkesempatan mengunjungi pusara ayahnya yang turut terbunuh semasa serangan komunis dalam peristiwa Bukit Kepong.
Impian yang terpendam lama dipenuhi oleh Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu yang membawanya ke Muar Johor baru-baru ini dan buat pertama kalinya, selepas tahlil dan bacaan yasin dia mengusapi nesan yang tertera nama ayahnya, Konstabel Jaafar Hassan.
Selama ini dia hanya mengenali ayahnya melalui potret hitam putih yang telah kusam dalam simpanannya selain cerita yang disampaikan oleh arwah ibunya Seri Ahmad.
Azlas ketika dihubungi semalam memberitahu, sudah terlalu lama dia menyimpan hasrat untuk ke sana tetapi tidak kesampaian meskipun ada pihak yang sebelum ini menyatakan kesediaan membawanya.
"Walaupun tertangguh beberapa kali, dengan sokongan Pemuda UMNO dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu akhirnya saya sampai juga.
"Tak mudah ke sana kerana saya orang susah," katanya yang kini menetap di Kampung Perpindahan Cendering, di Kuala Terengganu.
Azlas anak tunggal dalam keluarga dan tidak lagi mampu bekerja, tinggal bersama ibu saudaranya yang juga kakak kepada Allahyarham Jaafar, Minah Mohamad, 85 dan mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki berkata, waris pejuang Bukit Kepong perlu diberi perhatian bagi mengurangkan kesedihan mereka akibat dihina pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.
"Kita mahu zahirkan kepada mereka khususnya Azlas bahawa masih ramai individu dan pertubuhan yang prihatin dan mahu membela nasib keluarga mereka.
"Tatkala waris mereka dihina dan dituduh sebagai tali barut penjajah, masih ada orang lain yang tampil memberi sokongan kepada mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment