Tuesday, October 25, 2011

YTL Comms Serah Pelan Perniagaan Kembang Ke Sabah Dan Sarawak Kepada SKMM

YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) menyerahkan pelan perniagaannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperoleh lesen spektrum untuk melaksanakan perkhidmatan internet dengan suara mudah alih YES 4G di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wing K Lee berkata syarikat itu ketika ini sedang menunggu maklum balas daripada SKMM.

"SKMM akan mengkaji pelan itu dan memberikan maklum balas kepada kami," katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata syarikat itu melancarkan rangkaiannya di Terengganu baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usahanya menyediakan akses kepada perkhidmatan 4G di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Lee berkata syarikat itu merancang menambah lebih 2,500 stesen pangkalan telekomunikasi pada akhir tahun dan merangkumi 85 peratus daripada penduduk di Semenanjung Malaysia.

"Ketika ini kami mempunyai 2,000 stesen pangkalan telekomunikasi di Semenanjung Malaysia dan rangkaian YES kami merangkumi 65 peratus daripada jumlah penduduk," katanya.

Beliau berkata dengan penggunaan lebih banyak stesen pangkalan telekomunikasi, bilangan pelanggan YES dijangka meningkat kepada lebih 400,000 pada akhir tahun daripada 300,000 ketika ini.

Lee berkata sejak pelancaran Yes, YTL menghantar lebih tujuh juta minit panggilan suara, dua juta SMS dan 825 terabait trafik data.

"Saya gembira kami menikmati kadar kepuasan pelanggan lebih 86 peratus ketika ini," katanya.

No comments:

Post a Comment