Sunday, October 30, 2011

Hulu Terengganu Buat Persiapan Rapi Hadapi Banjir

Pejabat Parlimen Hulu Terengganu akan mengekalkan pusat pemindahan sedia ada termasuk di setiap kampung seperti tahun lepas bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar tahun ini.

Ahli Parlimennya, Mohd. Nor Othman berkata, pihaknya juga mengenal pasti kampung yang sering terjejas akibat banjir dan persiapan sedang dibuat untuk menghadapi bencana itu.

"Ramai sedia maklum bahawa daerah ini sering dilanda banjir apabila tiba musim tengkujuh setiap tahun. Justeru, kita susun pelan menyeluruh dan membuat persiapan rapi untuk hadapi banjir pada tahun ini," katanya kelmarin.

Antara kampung yang sering dilanda bencana itu ialah Kampung Bukit Tadok, Kampung Nibong, Kampung Lubuk Perah dan beberapa kampung lain di kawasan Hulu Berang.

Tambah Mohd. Nor, bilik gerakan juga akan dibuka 24 jam semasa banjir nanti.

Mohd. Nor turut menasihati penduduk setempat agar berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti arahan pihak berwajib semasa banjir.

"Jangan leka dan tunggu saat akhir baru nak buat persiapan," katanya.

No comments:

Post a Comment