Saturday, October 29, 2011

Irfan Untuk Kali Pertama, Azraai Untuk Hari Jadi

Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah berharap skuad bimbingannya itu mampu merangkul kejuaraan Piala Malaysia musim ini sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya pada 25 Oktober lalu.

Ia juga akan memahat sejarah tersendiri untuk musim pertama bersama Hoben Jang Hoben.

Bagi jurulatih skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim yang pernah melatih Negeri Sembilan pada 1999, beliau mempunyai dua misi yang perlu dilaksanakan pada aksi final, malam ini.

Misi pertama membantu Terengganu muncul juara kali kedua piala berprestij ini selepas mendakapnya pada 2001 dan kedua, menjulang piala itu buat kali pertama sebagai jurulatih.

“Sepanjang 20 tahun bergelar jurulatih, saya belum pernah mengecap nikmat menjulang trofi Piala Malaysia biarpun kerap bertukar pasukan seperti Negeri Sembilan, Perlis, Telekom Melaka dan kini Terengganu.

Dengan keyakinan dan yakin azam pemain yang tinggi untuk menambah koleksi kejuaraan kedua selepas muncul juara Piala FA, menambahkan lagi komitmen mereka untuk beraksi bersungguh-sungguh.

Biarpun kini sudah ada perang psikologi kononnya Piala Malaysia bakal menjadi milik Negeri Sembilan selepas Terengganu muncul juara Piala FA musim ini tidak sedikitpun merencat strateginya.

Sebaliknya jurulatih berpengalaman itu sudah mengadun resipi terbaik untuk menumbangkan lawan pada pentas final di Stadium Shah Alam, malam ini.

“Secara jujur, saya akui dengan peluang kali ini, di saat saya berusia 60 tahun, saya harap dapat menjulangnya. Saya yakin berbekal kemahiran individu tinggi dan semangat berpasukan pada setiap pemain Terengganu, kami mampu menang di Shah Alam,” katanya.

Azraai Khor tetap menghormati kredibiliti Irfan walaupun mengakui lebih berpengalaman di pentas final apabila tewas kepada Perlis pada 2004 sebelum kembali bangkit menjuarai Piala Malaysia dua tahun berturut-turut menewaskan Perak dan Selangor sejak 2007.

Bag Azraai Kor, walaupun pernah merayakan kegembiraan menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut ketika membimbing Kedah sebelum ini, beliau mengakui suasana itu berbeza sama sekali jika meraikannya bersama Negeri Sembilan.

“Ini kerana detik perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini terlalu hampir dengan tarikh lahir saya iaitu pada 25 Oktober lalu, selain ini adalah musim pertama saya membimbing skuad Negeri Sembilan.

Jika pasukan ini muncul juara, sudah pasti ia bakal mencatat sejarah tersendiri dalam hidup saya dan akan dikenang sepanjang hayat. Oleh itu, saya harap detik kegembiraan itu dapat diraikan dengan kejayaan Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia, trofi yang menjadi buruan dan kemegahan setiap pasukan,” katanya.

“Bagi saya, Terengganu merupakan pasukan pilihan muncul juara kerana mempunyai pemain yang berkualiti di setiap posisi, namun kami tidak akan menyerah dengan mudah.

“Jika perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti, antara lima pemain yang berada dalam fikiran saya untuk mengambil sepakan ialah kapten, Shukor (Adan), Irwan Fadli (Idris), Shahurain (Abu Samah), Nor Hafiz Zamani (Misbah) dan Aidil Zafuan (Abdul Razak),” katanya.

Harian Metro, Kosmo!

No comments:

Post a Comment