Tuesday, October 25, 2011

Jambatan Sempit di Paka Perlu Dinaik Taraf


Jambatan sempit di Paka dikhuatiri membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Keadaan jambatan Sungai Gemuruh di KM 92.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di Paka yang sempit menyebabkan pengguna boleh terdedah kepada risiko kemalangan terutama apabila kenderaan berselisih.

Jambatan itu disifatkan orang ramai sebagai tidak lagi sesuai dalam arus pembangunan yang semakin pesat kerana jumlah kenderaan yang melaluinya semakin bertambah.

Tinjauan mendapati, permukaan jambatan sempit mengundang kesesakan lalu lintas, terutama jika kenderaan dari kedua arah bertentangan berselisih di atas jambatan itu.

Pemandu lori, Amran Musa, 44, berkata sepanjang perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kemaman, jambatan berkenaan adalah satu-satunya yang belum dilebarkan.

Beliau berkata, setiap kali lori berselisih dengan sebuah kereta, perasaan gerun dan cemas timbul dan sedikit kealpaan boleh menyebabkan kemalangan.

"Jambatan seusia dengannya seperti Jambatan Merchang, Pulau Serai dan Rhu Kubur sudah dinaik taraf," katanya.
Penduduk, Mohd Islam Ismail berkata, setiap kali waktu puncak, jambatan itu akan sesak berikutan orang ramai mula pulang dari kerja dan paling ketara apabila tiba musim perayaan.

"Keadaan lalu lintas menjadi sesak berikutan pengguna memperlahankan kenderaan apabila sampai di jambatan itu kerana berhati-hati supaya tidak berlaku kemalangan,” katanya.

Juhafizu Jusoh, 33, berkata, banyak kemalangan berlaku di situ termasuk kemalangan maut dan keadaan itu menyebabkan pengguna yang biasa melalui kawasan itu akan berhati-hati.

"Selain itu, apabila tiba musim tengkujuh air sungai akan mencecah permukaan jalan menyebabkan jambatan itu ditutup kepada lalu lintas,” katanya.

Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, beliau dimaklumkan isu jambatan itu sudah dibawa kepada Kerajaan Persekutuan dan menunggu peruntukan untuk menjalankan kerja pelebaran jambatan terbabit.

"Kita berharap peruntukan ini disegerakan bagi memudahkan pihak berkuasa mengeluarkan tender untuk kerja pelebaran jambatan itu yang amat membimbangkan semua pengguna jalan raya," katanya.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment