Tuesday, October 25, 2011

Lelaki Lari Dari Tahanan Polis Terima Hukuman

Padah melarikan diri daripada tahanan polis, seorang lelaki semalam dikenakan denda RM2,000 dan terpaksa merengkok di dalam penjara selama empat bulan jika gagal membayarnya.

Mohd Rizal Khalid, 33, juga dipenjara 18 bulan kerana mencuri sebuah van jenis Nissan Vanette milik Sopanin Mamat di perkarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada pukul 6 petang hingga 7 malam, 4 Okt lalu.

Mohd Rizal dari Jalan Pusara, di Kuala Terengganu didakwa melarikan diri daripada tahanan penjawat awam iaitu Konstabel Mohd Zulhaimi Gapar dan Konstabel Muhammad Afizul Abd Rahman di wad 7EF, HSNZ, kira-kira pukul 9.15 malam, 13 Okt lalu.

Dia yang sebelum itu ditahan mengikut undang-undang yang sah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22A Kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan mencuri van, dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, tertuduh dimasukkan ke wad itu kerana penyakit lelah dan HIV positif, dan berjaya ditahan semula keesokan harinya ketika sedang menonton televisyen di sebuah rumah pangsa di Bukit Kecil, di sini.

Pertuduhan kes dibuat Pegawai Pendakwa, Mohd Zainuddin Abd Ghani di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Sementara itu, dua orang rakyat China mengaku salah melanggar pas lawatan sosial dan bekerja sebagai tukang urut di mana salah seorang turut mengaku melacurkan diri.

Pertuduhan terhadap Xin Wei, 27, dan Liu Min, 24, yang berasal dari Yunnan, China, dibacakan jurubahasa mahkamah menggunakan bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Xin Wei berdepan dua pertuduhan iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja sebagai tukang urut di sebuah hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini dan melacurkan diri manakala Liu Min didakwa menyalahgunakan pas lawatan sosial dan turut bekerja sebagai tukang urut di hotel sama.

Mengikut pertuduhan, Xin Wei pada 3 Oktober lalu kira-kira pukul 11.15 malam di bilik bernombor 1106 hotel yang sama didapati melanggar syarat pas lawatan sosial apabila didapati bekerja sebagai tukang urut.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1962.

Selain itu, Xin Wei, didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Rakannya, Liu Min, pula dituduh di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1962 kerana didapati pada tarikh sama kira-kira pukul 10.10 malam melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut di hotel berkenaan.

Kedua-dua tertuduh mengaku salah atas semua pertuduhan tersebut.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Mohamad.

Nor Azizah menetapkan 2 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment