Monday, October 3, 2011

Jambatan Sungai Pinang, Air Putih Tergendala 10 Tahun Disambung - MB

Projek pembinaan Jambatan Sungai Pinang, Air Putih yang tergendala pembinaannya sejak lebih 10 tahun lalu akan diteruskan Kerajaan Negeri pada awal tahun depan dengan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta untuk menyiapkan jambatan itu yang menghubungkan lebih 20,000 penduduk dari beberapa kampung di Dun Air Putih dengan Bandar Chukai

Menurutnya, jambatan itu yang menghubungkan jalan Air Putih ke Bandar Chukai dianggap penting kerana ia laluan utama penduduk ke bandar berkenaan dan sebelum itu jambatan berkenaan sering tenggelam ketika banjir menyebabkan ribuan penduduk terkandas.

“Saya dimaklumkan menteri terbabit (Kementerian Kerja Raya) bahawa Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan berkenaan dan pembinaannya dijangka dimulakan awal tahun hadapan.

“Saya juga dimaklumkan oleh kementerian terbabit bahawa berlaku sedikit kesilapan teknikal termasuk reka bentuknya semasa pembinaan jamba-tan itu dahulu dan ia sekali gus mengakibatkan berlakunya masalah lain yang lebih serius hingga projek itu tergendala begitu lama,” katanya.

Beliau berkata demi-kian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke rumah beberapa penduduk Kampung Sungai Mas, Padang Kubu, Kijal, kelmarin yang terbabit dengan bencana banjir kilat minggu lalu.

Ahmad Said berharap pembinaan jambatan tersebut dapat dilakukan awal tahun hadapan dan dapat digunakan dalam tempoh dua tahun lagi sekali gus dapat menyelesaikan masalah terputus hubungan ribuan penduduk setiap kali berlakunya musim tengkujuh.

Dalam perkemba-ngan sama, beliau yang juga Adun Kijal berkata, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk meninggikan serta menaiktaraf jalan antara Kampung Paya Paman dengan jambatan berkenaan bagi mengelakkan berlakunya banjir di mana laluan itu ditenggelami air setiap kali banjir berlaku.

Menurutnya, apabila jalan Paya Paman siap ditinggikan nanti, ia akan menjadi laluan alternatif bagi ribuan penduduk dari Kampung Air Putih dengan menggunakan Jalan Mardi Pasir Gajah ke Ibok untuk ke Bandar Chukai.

“Kita yakin jalan ini dapat digunakan penduduk sekitar Kampung Air Putih, Pasir Gajah, Seberang Tayor dan Dadong sementara menunggu pembinaan jambatan Sungai Pinang dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, sebelum pembinaan jambatan berkenaan dahulu, beliau mengemukakan pandangan kepada pihak terlibat termasuk reka bentuk jambatan namun ia tidak diterima menyebabkan timbulnya masalah tersebut sekarang.

“Kita berharap pihak berkenaan dapat menerima pandangan pada peringkat setempat untuk melaksanakan pembangunan termasuk pembinaan membabitkan kos jutaan ringgit seperti itu agar ianya tidak membazirkan wang rakyat,” kata beliau.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment