Penjual ikan, Zulkifli Ngah dan isterinya amat gembira apabila mendapat tahu mereka akan mendapat sepasang anak kembar yang bakal menyerikan keluarga mereka.
Bagaimanapun kegembiraan tersebut bertukar sedih apabila pasangan yang berasal dari Kemaman itu mendapat tahu pasangan kembar tersebut merupakan kembar siam yang bercantum di dada.
Bayi yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 11.12 pagi, 22 September lalu, diberi nama Nur Shazwanie Zulkifli and Nur Shazrinie.
Zulkifli, 41 berkata berdasarkan pemeriksaan awal yang dijalankan menunjukkan kedua-dua bayi berkenaan berkongsi jantung dan hati.
Menurutnya, dia dan isterinya Noraini Mohamad 32, telah bersedia sejak peringkat awal lagi selepas doktor memaklumkan mengenainya ketika bayi berkenaan berusia enam bulan dalam kandungan.
"Saya dan isteri sangat gembira namun kami bimbang dengan tahap kesihatan mereka,” katanya.
Pasangan berkenaan turut mempunyai dua anak perempuan, seorang berusia enam manakala seorang lagi berusia tujuh tahun.
Zulkifli berharap bayinya dapat hidup secara normal selepas menjalani pembedahan untuk memisahkan mereka.
"Kami berdoa supaya kedua-dua anak kami selamat menjalani pembedahan. Kami juga sangat menghargai bantuan yang dihulurkan daripada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Ramelah T Senik berkata pihak hospital akan menjalankan beberapa pemeriksaan imbasan sebelum menjalankan pembedahan.
"Berat pasangan kembar ini masih belum cukup untuk menjalani sebarang pembedahan kerana berat mereka ketika ini ialah 5 kilogram.
"Buat masa sekarang mereka ditempatkan di unit rawatan rapi bayi (ICU),” katanya.
Dr Ramelah berkata berdasarkan pemeriksaan imbasan yang dijalankan pasangan kembar tersebut bercantum di bahagian tengah hati.
Bagaimanapun beliau berkata masih terlalu awal untuk menentukan tindakan selanjutnya yang akan diambil terhadap pasangan kembar itu ketika ini.
Pihak hospital itu perlu mengambil langkah keselamatan yang tinggi sebelum sebarang keputusan dibuat bagi menjalankan pembedahan ke atas kembar Siam berkenaan.
Menurut laporan Kosmo! pembedahan ke atas kembar tersebut ketika ini sangat bahaya disebabkan mereka baru dilahirkan pada 22 September lalu.
Beliau berkata, berat kembar Siam itu yang kurang daripada lima kilogram juga tidak memadai untuk sebarang pembedahan dijalankan.
“Kami akan menjalankan imbasan ke atas bayi tersebut untuk menentukan sama ada percantuman itu melibatkan organ penting. Selain itu, kami juga akan menilai pandangan pakar-pakar yang kita ada di sini dan kesesuaian mereka pada sebarang pembedahan pada bayi ini,” katanya semalam.
No comments:
Post a Comment