Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan penyokong Terengganu supaya tidak mengulangi perbuatan membaling objek ke dalam padang ketika pasukan mereka menentang pasukan lain dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia nanti.
Beliau mengulas tindakan penyokong Terengganu membaling objek seperti mercun dan botol ketika pasukan itu menentang Negeri Sembilan pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Nasiruddin Shah baru-baru ini.
"Setakat guna suara tak kisahlah, tapi jangan sampai timbulkan kemarahan orang lain. Kalau campakkan botol air sebegitu rupa, saya pun tak suka.
"Saya juga minta polis dan Unit Simpanan Persekutuan supaya bersikap lebih proaktif bagi mengelak kekacauan dalam setiap pertandingan," katanya selepas mempengerusikan menyuarat exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu semalam.
FRU diminta lebih proaktif ketika menjalankan tugas mengawal keselamatan pemain setiap kali perlawanan bola sepak diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Katanya, pasukan FRU sewajarnya menempatkan lebih ramai anggota di setiap penjuru stadium supaya keadaan dan tingkah laku penonton lebih terkawal.
“Sekiranya terpandang aksi penonton yang kurang menyenangkan seperti membaling botol minuman dan mengeluarkan kata-kata kesat, mereka sepatutnya bertindak lebih awal dengan mendekati penonton itu untuk memberi amaran tegas.
“Langkah ini perlu dilaksanakan segera kerana sudah kerap kali perkara sama seperti membaling mercun dan bergaduh berlaku di stadium itu,” katanya
Beliau mengingatkan penonton supaya bertindak lebih sopan dan menjaga tingkah laku ketika menyaksikan pertemuan pasukan Terengganu dan Kelantan pada pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia, 10 Oktober nanti.
“Saya mendapati memang wujud satu kumpulan kecil yang sering menimbulkan kekacauan di stadium dan saya ingatkan kepada kumpulan ini agar menghormati budaya kita serta jangan sesekali memalukan imej Terengganu,” katanya.
Ahmad Said berkata rasa tidak puas hati sememangnya lumrah termasuk terhadap keputusan yang dibuat oleh pengadil, namun kelakuan tidak bertanggungjawab yang menyebabkan ada yang tercedera tidak boleh dibiarkan.
"Kita ada rakaman siapa yang buat, dia tak boleh lari. Sebelum buat sesuatu fikir dulu, nanti kena masuk penjara, denda dan sebagainya," katanya.
Beliau berharap Terengganu dan T-Team yang juga dari Terengganu dapat melangkah lebih jauh dalam Liga Malaysia musim ini, sekurang-kurangnya ke separuh akhir.
No comments:
Post a Comment