Thursday, October 6, 2011

MB Alu-alukan Piala Monsun Bagi Menggalakkan Pelancongan

Kerajaan negeri menyerahkan kepada kerajaan Pusat dan pihak-pihak yang terlibat termasuk T-Best sama ada akan meneruskan kontrak penganjuran kejohanan kapal layar, Piala Monsun yang sepatutnya berakhir pada 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan jika kejohanan bertaraf dunia itu diteruskan kerana ia mampu memberi pulangan dari segi pelaburan asing dan meningkatkan industri pelancongan dalam jangka masa panjang.

Malah jelasnya, Terengganu mempunyai banyak kemudahan asas bagi menganjurkan kejohanan tersebut dan jika dihentikan, dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.

"Kita serah kepada pihak-pihak berkenaan terutama penganjur kejohanan Piala Monsun iaitu T-Best sama ada meneruskan Piala Monsun pada masa akan datang atau sebaliknya.

"Kita harap begitulah (Piala Monsun diteruskan) sebab kita ada kemudahan dan kita tak mahu pembaziran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu semalam.

PAS baru-baru ini meminta kontrak penganjuran Piala Monsun di negeri ini yang akan berakhir pada tahun hadapan tidak akan disambung kerana mendakwa pulangan yang diterima rakyat tidak seberapa.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat mendakwa, pulangan sedikit yang diterima rakyat atas penganjuran acara itu amat tidak berbaloi.

“Berapa sangat pendapatan yang diperoleh rakyat yang berniaga keropok goreng, pisang goreng dan air minuman ketika Piala Monsun berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu setiap tahun.

“Yang ramai berlumba pada sukan itu orang luar, jadi kita harap kontrak Piala Monsun tidak disambung lagi selepas kontrak tamat pada 2012 ini,” katanya 30 September lalu.

Ahmad Said berkata, semua pihak perlu akur dengan rasional penganjuran kejohanan tersebut kerana ia mampu memberi pulangan pelaburan dan pengiklanan untuk jangka panjang.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong segala usaha untuk menarik kunjungan pelancong," katanya.

Ahmad Said menyokong sekiranya kontrak kejohanan lumba kapal layar Piala Monsun yang bakal berakhir tahun depan terus disambung di Terengganu.

"Ia urusan pihak penganjur dengan pihak-pihak yang berkenaan. Kita harap kontraknya disambung semula sebab fasiliti kita sudah ada. Kalau tak sambung rugilah kita," katanya selepas mempengerusikan menyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran sukan berkenaan secara tidak langsung telah meningkatkan kedatangan pelancong ke Terengganu.

Ahmad berkata, iklan mengenai acara lumba kapal layar itu merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri dalam menarik pelancong asing.

"Memang ada pelancong dari luar yang datang ke Terengganu menerusi kejohanan ini. Jadi apa saja aktiviti yang boleh tarik orang datang ke Terengganu, kita sokong," katanya.

Menurut satu laporan PAS menyifatkan penganjuran acara sukan berprestij itu hanya mahu menonjolkan keegoan kerajaan BN dan Umno di negeri ini.

“Bukan ini yang rakyat mahukan, sebaliknya rakyat mahukan kerajaan yang adil dan menjaga hati nurani mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment