Sebahagian bekas pelatih PLKN pada program berjalan kaki ke Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur di Kem PLKN Merang Suria, Setiu, Terengganu, semalam.
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) tidak berhasrat menambah bilangan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) buat masa ini kerana jumlahnya sudah mencukupi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, ia berdasarkan tiada peningkatan ketara jumlah pelatih dengan purata yang ditampung setiap tahun iaitu seramai 140,000 orang di 81 kem.
“Justeru, kita rasakan tidak perlu penambahan sebaliknya kita akan terus menambah baik modul latihan sedia ada,” katanya selepas melepaskan 100 bekas pelatih PLKN dalam program berjalan kaki ke Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur di Kem PLKN Merang Suria di Setiu, semalam.
Ia bersempena dengan Perhimpunan Kami Anak 1Malaysia yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Jumaat dan Sabtu ini bertempat di stadium berkenaan.
Menyentuh mengenai perhimpunan itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya menjangkakan ia dihadiri oleh kira-kira 20,000 bekas pelatih PLKN dari seluruh negara.
“Mereka akan bertolak ke sana melalui tiga cara iaitu berjalan kaki dari lima penjuru yang bermula semalam, berjalan kaki tanpa henti dari Ayer Keroh ke Kuala Lumpur (esok) dan mendaftarkan diri di kem berdekatan untuk menaiki bas.
“Kesemua bekas pelatih itu dijangka tiba di stadium hoki itu sebelum pukul 11 pagi, Jumaat ini,” katanya.
Tambah beliau, pengangkutan seperti bas untuk ke Bukit Jalil adalah percuma tetapi terhad kepada 200 orang untuk satu-satu kem.
Beliau berkata, perhimpunan itu bertujuan memenuhi hasrat bekas pelatih PLKN yang ingin bertemu semula dengan rakan-rakan mereka.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment