"Kalau boleh saya tak nak perlawanan berlarutan sehingga masa tambahan. Seboleh-bolehnya saya nak pemain-pemain saya selesaikan dalam tempoh 90 minit masa sebenar perlawanan".
Itu azam jurulatih Terengganu, Irfan Bakti untuk aksi akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Perlawanan Sabtu ini merupakan pertembungan pertama di antara kedua-dua pasukan pada peringkat akhir sejak kejohanan itu diperkenalkan 90 tahun lalu.
Tambah Irfan, walaupun Terengganu akan turun sebagai pasukan pilihan di Shah Alam nanti, beliau berharap agar para pemainnya berpijak di bumi yang nyata dan tidak terbawa-bawa rekod pertemuan lalu.
Katanya, rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan musim ini seimbang dan sukar untuk meramalkan pasukan mana yang akan menjulang kejuaraan kali ini.
"Bagi saya, pasukan yang kurang membuat kesalahan, dialah yang akan muncul sebagai pemenang," ujarnya.Begitupun, Irfan tetap bersedia untuk beraksi sehingga 120 minit jika keputusan masih belum memihak mana-mana pasukan dalam tempoh sebenar perlawanan seperti yang berlaku ketika final Piala FA yang lalu menentang Kelantan.
Jelasnya, pemain begitu bersemangat untuk menentang skuad Rusa, setelah kali terakhir menjulang piala paling berprestij itu 10 tahun lalu.
Sementara itu, pemain tonggak Negeri Sembilan mula membayangkan untuk membawa Piala Malaysia pulang ke bumi adat pepatih, sekali gus mengulangi saat manis ketika bergelar juara 2009.
Pemain tidak mahu hampa seperti tahun lalu apabila pulang sebagai naib juara, sebaliknya bertekad untuk mempamerkan aksi terhebat bagi menjinakkan Terengganu pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Pemain versatil, S.Kunalan mahu memusnahkan cita-cita besar skuad Penyu yang mengidamkan kejuaraan berganda musim ini.
Namun, pemain sayap kebangsaan itu yang memiliki kelincahan mengakui bahawa memburu kemenangan ke atas pasukan pantai Timur itu bukan tugas mudah.
Bagi penyerang muda, Shahurain Abu Samah yang kerap mengukir nama sebagai penjaring dalam kempen Piala Malaysia musim ini, dia optimis dengan prestasi serta komitmen rakan sepasukan.
Katanya, pengalaman beraksi pada final dua kali bertemu pasukan hebat, Kelantan membuatkan dia lebih matang untuk menghadapi jiran bekas juara musim lalu.
Sepanjang kempen Piala Malaysia, Shahurain menjaringkan enam gol dengan purata satu gol setiap perlawanan.
"Saya telah bersedia untuk final kali ini dan memasang impian untuk menang. Tidak fikir untuk menjaringkan gol sebaliknya akan membantu rakan seperjuangan bagi catat kemenangan.
"Berdepan Terengganu satu tugas berat tetapi tetap yakin semua pemain Negeri Sembilan bersemangat dan siap sedia untuk bermain di hadapan ribuan penyokong di Shah Alam nanti.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment