Thursday, October 27, 2011

Mustapa Rasmi Makan-makan Bistro Di Perth Sempena CHOGM

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed meluangkan masa daripada jadual kerjanya bertemu bakal pelabur di Perth, untuk merasmikan Makan-Makan Bistro, restoran Malaysia terletak di William Street, Northbridge, di Perth.

Mustapa berada di Perth bagi menghadiri Forum Perniagaan Komanwel yang berlangsung bersempena Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Acara berkenaan dihadiri kira-kira 100 warga Malaysia di Perth terutamanya mahasiswa dan penuntut lepasan ijazah dari University of Western Australia, Edith Cowen University, Curtin University dan Murdoch University serta profesional Malaysia yang bekerja di Perth, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Makan-Makan Bistro yang memulakan operasi pada 24 Okt, 2011, dimiliki Ahmad Norly Hassan dari Terengganu dan beberapa rakan kongsi Malaysia yang lain.

Dalam kenyataan itu, Ahmad berkata idea Makan-Makan Bistro tercetus susulan kejayaan restoran pertama beliau, Makan-Makan Cafe yang dimulakan pada 2004 apabila beliau masih penuntut universiti.

Makan-Makan Bistro yang terletak di tengah kawasan pelbagai restoran di Perth, menawarkan makanan Malaysia serta hidangan makanan barat halal kepada pelanggannya.

Dalam ucapannya, Mustapa memuji inisiatif pihak swasta seperti penubuhan restoran Malaysia di luar negara sebagai contoh terbaik apa yang sektor swasta boleh lakukan untuk mempromosikan imej baik Malaysia.

Beliau mencadangkan pemilik restoran supaya menimbang untuk meletakkan gambar-gambar yang menampilkan destinasi pelancongan Malaysia serta peta yang menunjukkan kedudukan Malaysia.

Ini akan meningkatkan profil Malaysia di kalangan warga asing.

Buat masa ini, terdapat 21 penerbangan Perth-Kuala Lumpur seminggu dan lebih banyak rakyat Australia terus memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.

Mustapa akan menemani Datuk Seri Najib Razak apabila Perdana Menteri menyampaikan ucaptama pada 27 Okt pada Forum Perniagaan Komanwel bertajuk "Membina Infrastruktur Untuk Abad Ke-21".

Perdana Menteri kemudiannya akan menyertai satu sesi dengan pemimpin korporat Australia bertajuk "Peluang-peluag Perniagaan di Malaysia".

1 comment:

  1. syabas En Ahmad Norly
    how to get your phone number or email

    ReplyDelete