Kallang T cuba melepasi dua pemain Selangor pada perlawanan separuh akhir pertama di Shah Alam malam kelmarin.
Berpandukan jumlah jaringan dan bermain pula di tempat lawan, Selangor sudah boleh melupakan Misi 33 serta hasrat beraksi di pentas final Piala Malaysia, 29 Oktober ini selepas tewas 0-2 kepada Terengganu pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Namun jurulatih Selangor, P Maniam tetap memberi contoh positif buat anak buahnya menjelang aksi Sabtu ini, apabila dia tetap melahirkan rasa optimis Selangor masih berpeluang memadam kelebihan dua gol diperoleh Terengganu menerusi Abdul Manaf Mamat, kelmarin.
“Bukan mustahil untuk Selangor menewaskan Terengganu pada aksi kedua nanti. Jika semua pemain dapat memberi aksi terbaik, saya pasti peluang ke final masih ada, “ katanya.
Bagi P Maniam, Amri Yahyah mungkin dapat diturunkan Sabtu ini dan kehadirannya akan memberi keyakinan yang lebih kepada pemain lain untuk mengatasi Terengganu.
Namun berdasarkan rekod buruk Selangor yang sudah sembilan tahun gagal mencapai kemenangan ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, gelanggang yang perlu dihadapi mereka sekali lagi untuk aksi separuh akhir kedua, Sabtu ini Misi 333 menjadi tanda tanya.
Kali terakhir Selangor melakukannya ialah pada 19 Januari 2002, ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Wan Rohaimi Ismail, Selangor bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi Piala Sumbangsih hasil dua jaringan Azman Adnan.
Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti pula memberikan peringatan awal-awal lagi : “Jangan terlalu selesa dengan situasi sekarang.”
Meskipun sudah memperoleh bekalan selesa selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2011, malam kelmarin, apa sahaja boleh berlaku.
“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpesta dan kami perlu mengelakkan diri daripada bersikap terlalu angkuh serta sombong. Kami perlu cekalkan hati kerana perjuangan kami masih belum selesai.
“Selangor akan hadir di Kuala Terengganu tanpa sebarang tekanan kerana mereka tahu kami memiliki kelebihan besar. Tetapi, situasi inilah yang membimbangkan saya kerana takut pemain akan leka sehingga membahayakan kedudukan pasukan,” jelasnya.
Irfan mengakui dua gol yang diperoleh di Stadium Shah Alam itu bukanlah modal besar sehingga membolehkan para pemainnya bermain sambil lewa pada aksi kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.
“Memang kami menang 2-0, tetapi permainan belum lagi berakhir. Masih ada 90 minit lagi yang perlu kami lalui dan dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku," katanya semalam.
"Saya tetap menghormati Selangor walaupun kami memenangi perlawanan malam ini. Selangor sudah pasti akan berusaha untuk bangkit pada perlawanan kedua nanti dengan mendapatkan gol awal.
"Walaupun kami mendahului pada separuh akhir pertama, kami akan meneruskan corak permainan menyerang seperti mana yang kami buktikan ketika kami menyingkirkan Kelantan.
"Kami menang 3-1 pada perlawanan suku akhir pertama tetapi kami tetap bermain secara menyerang pada suku akhir kedua di Kota Bharu.
"Perlawanan separuh akhir masih ada 90 minit, kami tetap mahu cuba mendapatkan kemenangan di tempat sendiri, " katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Abdul Manaf Mamat, yang baru kematian bapanya tidak sampai seminggu, muncul wira Peteh apabila menyumbat dua gol pada minit pertama dan ke-32 sekali gus meletakkan Terengganu ke pentas akhir buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.
Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan gembira kerana pemain beraksi seperti dirancang dengan gol awal yang tercipta pada minit pertama memberikan impak kepada persembahan pasukannya.
"Saya memang mahukan pemain cukup bersedia untuk hadapi perlawanan ini dan mereka membuktikannya pada malam ini dengan bermain mengikut apa yang saya rancang.
"Asaari Samsudin dan Manaf Mamat antara yang cemerlang pada malam ini kerana banyak mencipta gerakan kepada rakan sepasukan, selain memberi bantuan dari bahagian bawah," katanya.
Justeru, kata pengendali kelahiran Kelantan itu, komitmen amat ditagih daripada kesemua pemain dalam misi mereka memburu tempat ke final Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.
Pada perlawanan di Stadium Shah Alam kelmarin, kesebelasan utama Terengganu sekali lagi menampilkan kelas tersendiri apabila mudah menjerat Selangor dengan dua gol menerusi sentuhan Abdul Manaf Mamat.
Kejayaan itu sekali gus mengulangi skrip yang sama di Kota Bharu minggu lalu apabila anak-anak buah Irfan mampu menyerap tekanan ribuan penyokong Gergasi Merah Kuning yang membanjiri stadium.
Jelasnya, kehadiran Reshafiq Alwi dan Ahmad Nordin di bahagian tengah juga perlu diberikan pujian termasuk jentera tengah yang dikemudi Marzuki Yusof.
“Saya pilih Manaf sebagai pemain terbaik pada perlawanan semalam dan memberi kredit kepada Reshafiq dan Ahmad Nordin atas kesungguhan mereka membantu jentera tengah dan pertahanan.
“Inilah barisan terbaik saya dan pemain telah mempamerkan satu mutu permainan luar biasa sejak kebelakangan ini,” katanya.
Berita Harian, Kosmo!, Harian Metro
No comments:
Post a Comment