Monday, October 3, 2011

Kerajaan Negeri Rangka Persiapan Rapi Hadapi Banjir - MB

Kerajaan Negeri melakukan persiapan rapi bagi menghadapi musim tengkujuh dan kemungkinan berlakunya banjir besar pada tahun ini beriku-tan kejadian banjir teruk di beberapa negara Asia sejak belakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selesai mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu dan telah membuat persiapan dari segi penyediaan serta penghantaran barangan makanan serta urusan pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata, segala uru-san yang berkaitan telah dilakukan termasuk mengadakan beberapa pengkalan hadapan di beberapa kawasan rendah yang sering berlaku banjir termasuk banjir kilat selain memastikan pusat perpindahan banjir serta anggota keselamatan yang bertugas.

“Kita juga menjamin bekalan makanan mencukupi bagi kegunaan mangsa banjir di semua pusat perpindahan selain memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Walaupun pada tahun ini sudah beberapa kali kejadian banjir berlaku namun penduduk tidak boleh memandang ringan yang kemungkinan banjir tidak akan berlaku lagi. Kerajaan sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa penduduk Kampung Sungai Mas dekat Padang Kubu, Kijal, di Kemaman, yang terbabit dengan kejadian banjir kilat akhir bulan lalu hingga mengakibatkan kira-kira 120 penduduk terjejas.

Menurut Ahmad, menjangkakan banjir besar berlaku tahun ini pihaknya juga telah mengarahkan JKM supaya sentiasa bersiap sedia.

Menyentuh mengenai keja-dian banjir kilat di Kampung Sungai Mas pula, beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa pusat perpindahan yang sesuai jika bencana sama terjadi lagi.

“Bekalan makan minum dan kelengkapan juga akan diagihkan dengan segera demi keselesaan mangsa,” katanya.

Katanya, sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah penduduk kampung berkenaan yang sering terbabit dengan banjir setiap tahun, Kerajaan Negeri kini sedang membina 500 unit rumah mampu milik (kos rendah) bagi memindahkan semua penduduk terbabit di kawasan berkenaan.

“Apabila projek peruma-han ini siap tahun depan, kita akan memindahkan semua penduduk di dua kampung terbabit iaitu Kampung Padang Kubu dan Sungai Mas ke kawasan penempa-tan baru itu yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuk masjid.

“Apabila siapnya projek perumahan itu nanti, kita yakin masalah banjir yang sering dihadapi penduduk dua kampung berkenaan akan selesai seperti mana yang telah dilakukan kepada penduduk Kampung Padang Lalang yang terbabit dengan banjir sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, sebagai tindakan jangka pendek menghadapi kejadian banjir termasuk banjir kilat di kampung tersebut, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membina kolam takungan air besar berhampiran kampung berkenaan untuk menakung jumlah hujan dan mengelak berlakunya banjir kilat atau aliran air hujan yang deras.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment