Kerajaan negeri Terengganu akan membiayai kos pembedahan untuk memisahkan kembar siam yang bercantum di bahagian dada, Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie, sekiranya doktor memutuskan ia selamat dilakukan.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri kini menunggu keputusan yang dibuat doktor berhubung pasangan kembar yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, 22 Sept lepas.
"Kalau keluarga kurang kemampuan, kita sebagai kerajaan yang prihatin pada rakyat kita bantulah. Cuma kita tak mahu sampai merayu kepada orang ramai minta sumbangan untuk pembedahan, kita sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan bantu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kuala Terengganu, semalam.
Pasangan kembar Siam, Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar di sana.
Ahmad Said berkata kerajaan negeri mempunyai dua tabung bantuan iaitu Tabung Pesakit Kronik dan Tabung Darul Iman dan kes pasangan kembar Siam itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum bantuan dihulur mengikut kesesuaian.
Bapa pasangan kembar itu, Zulkifli Ngah, 41, seorang peniaga ikan dari Kemaman sebelum ini berkata beberapa imbasan awal yang dilakukan belum dapat mengesahkan sama ada kembar itu berkongsi organ penting seperti hati dan jantung bagi menentukan tahap risiko jika pembedahan dilakukan.
No comments:
Post a Comment