Thursday, October 6, 2011

Madu Terengganu Dijangka Tembusi Pasaran Global

Koperasi Pemungut Madu Lebah Asli Terengganu Berhad (Kopemat) yakin madu lebah Terengganu akan menembusi pasaran global pada masa depan.

Timbalan Pengerusi Kopemat Ibrahim Ismail berkata ini berikutan usaha kerajaan negeri Terenganu menganjurkan Persidangan dan Pameran Madu Asia pada September tahun depan.

Persidangan dan Pameran Madu Asia itu dijangka dihadiri peserta dari 20 hingga 30 negara dan ini akan membuka peluang lebih luas lagi kepada Terengganu untuk mencari pasaran madu di luar negara, katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Pada minggu lepas, hampir 100 penyelidik dan saintis dari dalam dan luar negara mengikuti seminar lebah kebangsaan di sini, katanya, sambil mendakwa Terengganu mengeluarkan madu lebah terbaik dan berkualiti di Malaysia.

Menurutnya, kebanyakan lebah di Terengganu bersarang pada pokok tualang dan bunga tualang menjadi sumber makanan serangga itu.

Ibrahim berkata Terengganu kini mengeluarkan kira-kira 2,000 kg madu lebah semusim (bagi tempoh tiga bulan) dan jumlah itu mungkin bertambah apabila kerajaan negeri mewujudkan satu pulau madu di Tasik Kenyir.

Bagi tujuan itu, katanya kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan RM1.6 juta untuk membangunkan pulau madu itu.

Selain itu, Ibrahim berkata pemanjat madu lebah di Terengganu sekarang ini bukan lagi terdiri daripada orang-orang tua, tetapi merupakan para remaja lepasan sekolah kerana harga madu yang begitu baik.

Madu lebah kini dijual pada harga RM45 dan RM49 sebotol pada peringkat pengeluar.

Kopemat, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, katanya akan menawarkan kursus keselamatan dan membaca peralatan sistem Penentu Kedudukan Sejagat (GPS) kepada pemungut-pemungut madu lebah bagi memudahkan kerja-kerja mereka.

Di Terengganu sekarang ini terdapat lebih 300 pemungut madu lebah dan kira-kira 70 orang daripadanya adalah ahli Kopemat, katanya.

No comments:

Post a Comment