Saturday, October 8, 2011

Kerajaan Tidak Pernah Pinggirkan Orang Asli

Kerajaan tidak pernah meminggirkan Orang Asli walaupun mereka golongan minoriti di negara ini, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek.

Beliau berkata, sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) hingga Kesembilan (RMK-9) kerajaan telah memberi peruntukan kepada pembangunan sosioekonomi dan pembangunan modal insan Orang Asli melebihi RM1 bilion.

Hassan berkata, dasar memberi peluang pendidikan kepada masyarakat Orang Asli secara intensif sejak 20 tahun dahulu telah membuahkan hasil sebilangan mereka memiliki ijazah sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata, walaupun pelbagai kejayaan telah dicapai, namun kerajaan masih lagi memandang serius isu-isu berhubung pendidikan masyarakat Orang Asli termasuk keciciran yang masih lagi berlaku.

Katanya, kerajaan akan lebih fokus melihat masalah keciciran ini termasuk melaksanakan beberapa langkah melalui program yang sedang dan akan dilaksanakan seperti mesra didik dan memperluaskan kemudahan sekolah komprehensif.

Jelas beliau, program merangsang kecemerlangan pelajar Orang Asli dipergiatkan antaranya mengadakan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam pencapaian akademik.

No comments:

Post a Comment