Saturday, October 8, 2011

Pelatih Bomba Maut Van Terbalik di Ajil

Seorang pelatih yang sedang menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat, Wakaf Tapai, maut dalam kemalangan di Kilometer 396.3. Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), di Kampung Kua, Ajil di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Nur Farhana Mohd. Mahat, 26, dari Tangkak Johor, terbunuh apabila van yang dinaikinya bersama tiga lagi anggota bomba di akademi berkenaan terbabas sebelum terbalik.

Ketika kejadian, ibu kepada dua anak itu yang menjalani latihan di akademi tersebut sejak 5 September lalu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di berek Bomba, Tangkak, Johor, selepas mengadu tidak sihat.

Mangsa dibenarkan pulang berehat oleh pihak pengurusan akademi itu selepas beberapa hari dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Nur Farhana diiringi tiga anggota lain iaitu, pemandu van terbabit, Firdaus Ahmad, 26, Wan Siti Suzana Yusof, 27, dan Shahidan A. Razak, 23, dan mereka cuma mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum meninggal dunia pukul 9.45 malam ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan turut hadir menziarahi jenazah mangsa ialah Komandan Akademi Bomba Wakaf Tapai, Norazam Khamis.

Jenazah Nur Farhana dibawa ke Akademi Bomba Wakaf Tapai untuk dimandi dan dikafankan sebelum diterbangkan menggunakan Helikopter Bomba, pagi ini ke kampung asalnya untuk dikebumikan.

Ibu mertua mangsa, Khatijah Mat Senin, 54, yang berasal dari Kampung Cabang, Kerteh, Dungun, ketika ditemui memberitahu, menantunya itu memperoleh dua cahaya mata hasil perkahwinan dengan anaknya yang juga merupakan seorang anggota bomba.

Katanya, anaknya itu bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Johor, dan mereka sekeluarga gembira selepas arwah terpilih menyertai pasukan dan menjalani latihan di akademi itu.


Utusan

No comments:

Post a Comment