Orang ramai yang menggunakan jeti bot penambang di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu, berdepan risiko kemalangan berikutan ada bahagian jeti kayu berkenaan dikesan reput dan tertanggal.
Pemandu bot penambang, Mustafa Ali, 63, berkata, waktu malam menjadi detik paling bahaya kepada penumpang kerana lantai jeti diperbuat daripada kayu itu kebanyakannya sudah tertanggal.
Menurutnya, antara 300 hingga 400 penumpang menggunakan perkhidmatan bot penambang yang beroperasi dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 malam pada setiap Ahad hingga Khamis.
“Bagaimanapun pada hujung minggu penumpang boleh mencecah hingga 600 orang dan keadaan jeti yang usang itu boleh mengundang padah kepada pengguna,” katanya.
Seorang penumpang, Siah Che Sulong, 54, berkata, jeti terbabit berbahaya digunakan terutama kepada individu yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
“Sebelum berlaku kemalangan dan perkara tidak diingini, saya harap pihak berkenaan segera membaikinya,” katanya Azaman Ibrahim, 44, berkata, sebelum ini ada penumpang yang terseliuh kaki berikutan tersilap memijak lantai jeti yang reput dan tertanggal daripada struktur asalnya.
“Saya harap pihak berkenaan melihat sendiri jeti yang digunakan rakyat dan diharap mereka tidak memandang sepi keluhan ratusan penumpang yang menggunakan jeti terbabit,” katanya.
Menurutnya, walaupun ada jeti baru terletak 50 meter di sebelah jeti kayu itu, namun ia tidak boleh digunakan kerana struktur bumbungnya runtuh akibat dilanda ribut dan angin kencang bulan lalu.
Katanya, jeti baru terbabit juga jarang digunakan berikutan bot sukar mendarat ketika air surut yang boleh mengakibatkan bot terkandas pada beting pasir berhampiran jeti itu.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment