Saturday, October 15, 2011

Majlis Kebudayaan Besut ke Pesta Gong Antarabangsa Sarawak 2011

Pesta Gong Antarabangsa Sarawak 2011 yang akan diadakan di sini pada 18 hingga 20 November ini, dijangka menarik 5,000 pengunjung, kata Menteri Muda Perkhidmatan Masyarakat Sarawak Datuk Peter Nansian.

Beliau juga yakin program itu dapat menjadi tarikan pelancongan, khasnya di luar bandar selain menyemarakkan aktiviti berkenaan pada kalangan masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur.

"Penyertaan kumpulan luar negara seperti Brunei dan Indonesia dan kumpulan tempatan mampu menjadikannya satu program global," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pesta Gong Antarabangsa 2011 bersama Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sarawak Saini Lihi, di Bau semalam.

Sebanyak 19 kumpulan dari Sarawak termasuk Anak Temuai Malam dari Pakan, Tuku Kame (Kampung Budaya Sarawak), Persatuan Budaya Iban (Sri Aman), Kumpulan Bisingai (Pusat Redeems), Kumpulan Buduk Gerua (Lawas), Kumpulan Li Sheng Association (Kuching), Gamelan Sri Arjuna, Universiti Malaysia Sarawak dan Dayak Cultural Foundation akan menyertainya.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kumpulan Seni Beaufort dari Sabah; Gabungan Muzik Tradisi (Gamutra) dari Majlis Kebudayaan Daerah Besut, Terengganu dan kumpulan kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan.

Program ini dianjurkan julung kali oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri Sarawak.

No comments:

Post a Comment