Tuesday, October 25, 2011

Menang Dulu, Insentif Pasti Datang - Che Mat Jusoh

Barisan pemain Skuad Penyu diingatkan agar tidak memikirkan soal ganjaran, sebaliknya perlu memberi seluruh tumpuan dalam misi untuk memburu juara Piala Malaysia musim ini yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu ini.

Apa yang lebih penting kini adalah pemain perlu terlebih dahulu mencatat kemenangan bagi memberi penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang banyak memberi sokongan kepada pasukan selama ini.

Di sebalik pesanan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat pula menegaskan ganjaran hebat pastinya menanti skuad Terengganu sekiranya mereka berjaya menjulang trofi paling berprestij, Piala Malaysia kali kedua dalam tempoh 10 tahun.

Ketika dihubungi di Kuala Terengganu, beliau berkata, meskipun tidak diumumkan lebih awal kerajaan negeri tidak akan lokek memberi ganjaran jika mereka membanggakan negeri dan rakyat.

Beliau mengakui sedang berusaha untuk memohon pucuk pimpinan kerajaan negeri bagi memberi ganjaran atau insentif kepada para pemain bola sepak Terengganu serta jurulatih jika berjaya merangkul juara Piala Malaysia musim ini.

Berlainan dengan nada Rozi, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, beliau berkata perkara berkaitan insentif jika diuar-uarkan kepada umum, dikhuatiri akan menjejaskan tumpuan barisan pemain memandangkan perjuangan sebenar mereka masih belum selesai.

“Sebaliknya, apa yang paling penting adalah pemain perlu terlebih dahulu bermain dengan bersungguh-sungguh dan selepas berjaya meraih kemenangan baru kita bercakap soal insentif dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil jalan selamat dengan tidak membuat sebarang janji berkaitan insentif kepada pemain Terengganu walaupun berjaya menempah tiket ke pentas final bagi memastikan pemain tidak hilang tumpuan.

Pada ketika Terengganu belum menjanjikan bentuk insentif, skuad bola sepak Negeri Sembilan sebelum ini menerima insentif RM200,000 ekoran prestasi cemerlang pemain dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Imbuhan itu merupakan suntikan semangat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) kepada pemain dan barisan jurulatih skuad Hoben Jang Hoben, setelah berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia baru- baru ini.

Insentif tersebut disampaikan Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada ketua pasukan, Shukor Adan pada majlis makan tengah hari bersama pemain di Klana Resort, di Seremban.

Melihat kepada apa yang dilakukan Negeri Sembilan ini, jika memang dijangka ‘durianruntuh’ akan menimpa pasukan berkenaan kerana dalam tempoh tiga tahun mereka menjadi juara sebanyak dua kali.

Sebaliknya bagi Terengganu, menurut Rozi, bentuk ganjaran itu diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk mengumumkannya nanti.

"Memang ada insentif ataupun ganjaran untuk para pemain kita (Terengganu) andai mereka berjaya menang pada final Piala Malaysia Sabtu ini, jika jadi juara kerajaan akan beri ganjaran kepada mereka.

"Tapi, apakah ganjaran atau bentuk insentif itu kita serahkan kepada Menteri Besar (Ahmad) untuk umumkan selepas ini," katanya.

Rozi berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan atlet sukan di Terengganu termasuk memberi mereka insentif atas kecemerlangan yang diraih sekali gus mengharumkan nama negeri serta negara.

Dalam pada itu, katanya, kira-kira 40,000 penyokong Penyu dijangka membanjiri Stadium Shah Alam Sabtu ini.

"Kita jangka antara 30,000 hingga 40,000 orang penyokong Terengganu akan ke Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini termasuk kira-kira 10,000 ahli kelab penyokong bola sepak Terengganu dan sebahagiannya akan menaiki 40 hingga 50 buah bas ke sana," ujarnya.

Teganukita, Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment