Thursday, October 13, 2011

Misi Mustahil Sabah - T'Team Tidak Ambil Mudah

Pasukan Sabah yang sudahpun berada di Kuala Terengganu sejak semalam akan meneruskan misi mustahilnya untuk usaha melayakkan diri ke pusingan separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Penggendali pasukan Sabah, Justin Ganai bagaimanapun tetap tenang dan menganggap pasukannya masih bernyawa, sambil menolak untuk mengangkat bendera putih lebih awal.

“Kami tidak gentar untuk berdepan T-Team walaupun pada hakikatnya ini bukanlah satu tugas yang mudah. Permainan masih berbaki 90 minit dan kami akan gunakan setiap peluang yang ada untuk mengatasi T-Team di hadapan penyokong sendiri,” katanya semalam.

Kerana kekalahan mengejut 1-2 kepada pasukan berstatus kelab, T-Team pada aksi suku akhir pertama di Stadium Likas Kota Kinabalu, Isnin lalu, Sabah berdepan keadaan menyulitkan di Kuala Terengganu.

Kekalahan itu juga meletakkan anak-anak buah Justin dalam kedudukan genting di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.

Andai prestasi semasa menjadi ukuran, T-Team diramal tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri, sekali gus mencatat sejarah mara dalam kelompok empat pasukan terakhir.

Justin juga mengakui tekanan sebenarnya kini lebih dirasai pemain-pemain T-Team berbanding anak-anak buahnya.

Jelasnya, beraksi di hadapan penyokong sendiri bukanlah sesuatu yang mudah dan ia pasti memberi tekanan psikologi kepada pasukan tuan rumah.

Kerana itu bagi T’Team, ia tidak menganggap mudah pertemuan suku akhir kedua apabila jurulatih, Yunus Alif berkata, kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah dalam perlawanan pertama Isnin lalu tidak boleh dijadikan ukuran.

"Kita masih ada 90 minit lagi untuk diharungi dan macam-macam boleh berlaku, tambahan pula Sabah sekarang berada pada prestasi terbaik dan boleh mengancam T-Team," katanya semalam.

Yunus berkata, T’Team tidak mempunyai strategi tertentu untuk menghadapi Sabah kecuali meningkatkan semangat berpasukan.

Strategi tersebut ternyata berkesan pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan Isnin lalu," katanya.

Beliau berkata, T’Team belum mahu mendabik dada malah akan tetap menghormati Sabah.

Menurutnya, T’Team ingin merealisasikan impian penyokong mereka untuk melihat pasukan itu terus berjaya dan seterusnya menjulang piala yang berprestij itu musim ini.

Pada pertemuan esok, bekas pemain kebangsaan, Tengku Hasbullah Tengku Hassan yang mengalami kecederaan di pangkal paha semasa pertemuan pertama Insin lalu mungkin akan direhatkan pada aksi kedua ini.

Begitupun, Yunus berkata, beliau tidak bimbang kerana T’Team mempunyai ramai pemain yang boleh mengisi tempat Tengku Hasbullah.

Sumber Kosmo!, Utusan, Berita Harian

No comments:

Post a Comment