Saturday, October 29, 2011

Misi Peribadi Dua Anak Sarawak yang Berkelana Di Terengganu

Ibarat mencari tuah di bumi orang, itulah yang kini dirasai dua pemain kelahiran Sarawak, Joseph Kalang Tie (gambar kiri) dan Reeshafiq Alwi apabila turun beraksi menyarung jersi Terengganu pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

Baik Joseph mahupun Reeshafiq, kedua-duanya masih belum pernah merasai debaran beraksi di pentas final, apatah lagi menikmati status sebagai juara pada kejohanan paling berprestij itu.

Namun malam ini, Joseph dan Reeshafiq memiliki peluang besar untuk melakar sejarah peribadi selepas kejayaan membantu skuad Penyu itu menjuarai Piala FA, Jun lalu.

Atas kertas, mereka bakal menjadi pertaruhan Irfan Bakti untuk mengisi posisi tengah dengan Joseph lebih berfungsi sebagai pemain sayap, manakala Reeshafiq pula bertindak di bahagian tengah.

Mengulas aksi final malam ini, Joseph yang pernah menjadi kapten Sarawak pada usia 21 tahun, mengakui cukup bertuah apabila peluangnya untuk berada di pentas final Piala Malaysia akhirnya menjadi kenyataan.

Pemain berusia 24 tahun itu menganggap, keputusannya berhijrah ke Pantai Timur dari negeri kelahirannya di Sarawak benar-benar berbaloi dengan kejayaan yang diraih setakat ini.

"Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia bersama sebuah pasukan yang berada jauh dari Sarawak.

"Tetapi saya sentiasa percaya kepada rezeki dan rezeki saya memang ada di Terengganu. Saya telah melalui musim yang cukup baik tahun ini dengan memenangi Piala FA selain muncul naib juara Liga Super.

"Kini, saya mahu menamatkan musim 2011 dengan satu lagi kejuaraan yang mana ia merupakan trofi yang begitu saya idam-idamkan," katanya yang turut mendapat perhatian daripada jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Bagi Reeshafiq (gambar kanan) pula, dia mengakui final Piala Malaysia malam ini sebagai perlawanan paling penting dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

Ujar pemain berusia 28 tahun itu lagi, satu kelebihan yang ada pada pasukan Terengganu adalah semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh semua pemain.

"Saya telah menyertai banyak pasukan dan Terengganu sangat berbeza.

"Saya boleh lihat kesepaduan dalam kalangan pemain, tidak kira ketika berada di dalam ataupun di luar padang.

"Perkara inilah yang banyak menjadi faktor mengapa kami boleh sampai ke tahap ini," jelas be- kas pemain KL Plus itu.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment