Sedekad lalu, Stadium Nasional, Bukit Jalil telah menjadi saksi kepada kemegahan Zulharisham Awang yang muncul sebagai kapten Terengganu pertama diberi penghormatan menjulang Piala Malaysia.
Detik bersejarah itu dirakam hasil kejayaan Zulharisham bersama rakan-rakan sepasukannya yang berjaya menumbangkan Perak 2-1 pada aksi final.
Kini, detik bersejarah itu semakin hampir diulangi apabila anak- anak buah Irfan Bakti menjejakkan kaki ke pentas final untuk membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam ini.
Bagi Zulharisham sendiri, dia cukup teruja apabila melihat kebangkitan generasi skuad 2011 dan mahu melihat skrip yang dilakar ‘skuad emas 2001’ 10 tahun lalu diulangi.
Katanya, dengan prestasi konsisten yang dipamerkan, Terengganu sebenarnya memiliki kelebi- han termasuk dengan kehadiran beberapa rangkaian pemain berbakat.
“Bukan mudah melangkah ke final Piala Malaysia dan kejayaan berada di pentas ini sebenarnya cukup luar biasa.
“Saya masih teringat bagaimana riuh dan bergemanya Bukit Jalil apabila kami mula memasuki padang untuk memulakan perlawanan menentang Perak.
“Ia merupakan satu detik yang sukar dilupakan, lebih-lebih lagi apabila kami berjaya memenangi Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah,” katanya kepada Kosmo!
Selain kejayaan menjulang Piala Malaysia, Zulharisham yang mewakili Terengganu dari 1997 hingga 2006, turut pernah meraih kejuaraan Divisyen Dua (1998), Piala FA (2000) dan Piala Sumbangsih pada tahun 2001.
Selain Zulharisham, antara watak lain yang membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia 2001 termasuklah Hairuddin Omar, Sapian Wahid, Rosdi Talib, Wan Rohaimi Ismail, Marzuki Yusof, Faziallah Mamat, Subri Sulong, Nafuzi Zain dan Alfian Aziz.
Ditanya apakah tips terbaik buat Marzuki yang akan turun selaku kapten Terengganu pada final malam esok, Zulharisham hanya mengharapkan bekas rakan sepasukannya itu tampil sebagai seorang ketua di atas padang.
“Tugas kapten bukan mudah kerana tugas utamanya adalah untuk menaikkan moral rakan sepasukan lebih-lebih lagi apabila pasu- kan ketinggalan.
“Dia perlu tegas dan bersikap profesional kerana semangat berpasukan sebenarnya terletak di tangan seorang kapten.
“Namun, saya yakin dengan pengalaman yang dimiliki Marzuki, dia mampu memikul tanggungjawab itu, sekali gus menjulang Piala Malaysia,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment