Parti komponen Barisan Nasional (BN) bersedia untuk merealisasikan pelarasan dan penyesuaian terhadap formula pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan menyifatkannya menepati perubahan semasa landskap politik negara.
Presiden MIC, Datuk G Palanivel, berkata parti itu tiada sebarang masalah atau halangan untuk membincangkan perkara berkenaan demi memastikan perjuangan BN mencapai kejayaan pada pilihan raya akan datang.
“MIC bersikap terbuka untuk membincangkan perkara itu... kita sudah bersedia dan tiada sebarang masalah mengenainya,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas, berkata memang sudah tiba masanya BN melakukan pelarasan dan penyesuaian terhadap formula pembahagian kerusi untuk meraih semula kepercayaan rakyat yang menginginkan calon berkelayakan serta berkualiti.
Di KUALA BERANG, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, menyifatkan langkah itu akan memantapkan lagi kekuatan seluruh parti komponen BN tetapi pembahagian kerusi perlu memberi fokus kepada kepentingan yang boleh diterima pengundi.
Di SEREMBAN, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, memberi jaminan MCA bersikap terbuka untuk sebarang rundingan mengenai peruntukan kerusi di kalangan parti komponen BN dengan berpegang kepada prinsip menyokong mana-mana calon boleh menang.
Beliau berkata, MCA akan mengemukakan senarai calon parti itu dari kalangan wajah baru, pertengahan umur serta matang dengan keutamaan diberi kepada golongan muda yang berpotensi.
Di KUCHING, Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, berkata pelarasan dan penyesuaian formula pembahagian kerusi itu memang perlu bagi mengelakkan BN mengulangi kekalahan banyak kerusi pada PRU yang lalu.
“Bagaimanapun, saya berpendapat ia lebih relevan dilakukan di Semenanjung kerana ia tidak memberi kesan ketara kepada kita di negeri ini berdasarkan rekod semasa,” katanya.
Di PUTRAJAYA, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pelarasan dan penyesuaian formula pembahagian kerusi akan membolehkan BN memperoleh kemenangan lebih besar.
“Semua parti komponen harus bersikap terbuka dan tidak boleh lagi bergantung kepada tradisi lama untuk menuntut kuota, sebaliknya perlu menerima sesiapa saja menjadi calon, termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mampu memberi kemenangan kepada BN,” katanya.
Di KOTA BHARU, Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata proses pelarasan dan penyesuaian formula pembahagian kerusi adalah biasa untuk persiapan menghadapi PRU dan pihaknya secara umum tiada masalah berhubung perkara itu.
No comments:
Post a Comment