Monday, October 17, 2011

Akta Murtad - Kerajaan Terengganu Tiada Halangan, PAS Berdolak Dalik

Kerajaan negeri tidak mempunyai halangan sekiranya akta berkaitan murtad dilaksanakan di negeri ini pada ketika PAS berdolak dalik dengan mengatakan ia boleh dilaksanakan jika PAS memerintah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu (JHEAT) untuk berbincang berhubung perkara itu.

"Bagi saya, Terengganu tiada masalah (perlaksanaan akta murtad). Biarlah orang-orang agama yang menentukan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan e-book kepada 467 murid dari 11 buah sekolah dalam daerah Kuala Berang semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula membayangkan bahawa Akta Murtad tidak diperlukan kerana perkara berkaitan murtad sudah pun terkandung dalam hukum hudud.

Tanpa menyatakan pendirian sebenar parti itu berhubung usaha membendung gejala memurtadkan umat Islam, beliau berkata, apa yang penting sekarang adalah kuasa untuk memerintah.

''Semua hukum sudah ada dan ia boleh dilaksanakan apabila tiba masanya kelak.

''Yang penting kita kena ada kuasa untuk memerintah. Sekarang ini siapa yang memerintah?

''Barangkali awak tidak sempat tahun 60-an. UMNO (ketika itu) cakap tidak boleh laksanakan hudud sebab tidak cukup batu hendak buat jalan raya,'' katanya kepada pemberita pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran Badan Perhubungan Pas negeri di Pantai Pandak, Cendering kelmarin.

Cadangan mewujudkan Akta Murtad dikemukakan Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.

Katanya, perbalahan kalangan parti pembangkang berhubung soal itu adalah perbezaan pandangan yang diberikan berasaskan persefahaman.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, cadangan mewujudkan akta murtad sekiranya ada keperluan harus disepakati di peringkat negeri bagi menentukan sama ada pelaksanaannya dalam bentuk akta Persekutuan atau enakmen.

Jelasnya, perkara itu harus dipertimbangkan kerana setiap hal ehwal berkaitan dengan agama terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment