Keluhan peminat Negeri Sembilan mengenai harga tiket 'melampau' untuk final Piala Malaysia menentang Terengganu Sabtu ini mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
PBNS mengorbankan pendapatan mereka untuk menampung 30,000 tiket yang dijual di negeri ini pada harga RM30, biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap dengan keputusan menjual harga tiket RM50.
Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat tergempar dengan ahli jawatankuasa PBNS setelah FAM enggan berganjak dari keputusan untuk menurunkan harga tiket.
Jelasnya, keputusan itu juga dibuat selepas PBNS menerima rungutan orang ramai itu dan pihaknya berpendapat sudah tiba masanya memberi 'hadiah' kepada penyokong skuad Rusa.
"Keputusan ini dibuat selepas jualan tiket yang perlahan. Berdasarkan maklumat penjualan tiket dari semalam hingga ke hari ini hanya terjual sebanyak 2,000 dan ini amat mendukacitakan.
"Oleh itu kita bersedia mengorbankan pendapatan dengan menjual tiket pada harga RM30," katanya pada sidang media khas di Seremban, malam tadi.
Mohamad yang juga Menteri Besar menegaskan tiket yang ditanggung itu bukan subsidi apatah lagi melibatkan kewangan Kerajaan Negeri.
Jelasnya, orang ramai boleh mendapatkan tiket pada 10 pagi ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, atau dari agen yang dilantik oleh PBNS di semua daerah hari ini.
"Orang ramai yang telah membeli tiket RM50, layak untuk mendapat pulangan RM20 berdasarkan kepada nombor siri pada tiket masing-masing," katanya.
Sebelum ini Mohamad melahirkan rasa kecewa selepas beliau dan pihak persatuan menjadi sasaran kecaman peminat dan penyokong skuad Hoben Jang Hoben yang kecewa selepas harga tiket dinaikkan.
Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan menjelaskan bahawa PBNS telah membantu penyokong bola sepak dengan membuat surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi tiada sebarang tindakan.
Mohamad berkata, beliau sendiri berasa terkejut apabila FAM menaikkan harga tiket final Piala Malaysia.
"Kalau ia di bawah kuasa PBNS, lainlah... masa perlawanan separuh akhir yang dibuat di stadium negeri (Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi) tempoh hari, kita benarkan 30,000 penyokong kita memasuki stadium percuma kerana itu di bawah kuasa kita," katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau berharap supaya penyokong Negeri Sembilan akan tetap membeli tiket untuk bersama menyokong skuad Hoben Jang Hoben.
Ketika ditanya jika PBNS akan memberi tiket subsidi dengan potongan harga 50 peratus seperti yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Mohamad berkata: "Persatuan (PBNS) tidak mempunyai wang yang banyak seperti Terengganu." katanya.
Utusan Malaysia/Kosmo!
No comments:
Post a Comment