Pegawai pemakanan akan ditempatkan di pasar raya Giant terpilih di seluruh negara melalui program Promosi Pemakanan Sihat di Pasar Raya, bagi membantu pengguna membuat pemilihan makanan yang lebih sihat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, menerusi program itu, pengguna akan dibawa ke lima seksyen dalam pasar raya iaitu seksyen beras, buah dan sayur, ikan, susu, serta minyak masak.
"Pengunjung akan diberi penerangan mengenai keperluan pemakanan seseorang individu, saiz hidangan, khasiat dan kebaikan serta pilihan makanan yang lebih bijak di setiap seksyen yang dilawati,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Jelas Tiong Lai,pengunjung juga akan diajar cara membaca dan memahami label makanan serta membuat perbandingan nilai pemakanan berdasarkan label pemakanan, sekali gus membantu mereka membuat pembelian makanan yang lebih bijak.
Tambahnya lagi, program itu yang diadakan menerusi kerjasama kementeriannya dan rangkaian pasar raya Giant di seluruh negara, akan dilancarkan Sabtu ini di Giant Shah Alam.
Ini adalah satu daripada inovasi baru dalam menyebarkan maklumat pemakanan sihat kepada rakyat menerusi pasar raya sebagai saluran maklumat, katanya.
No comments:
Post a Comment