Tuesday, October 4, 2011

Piala Malaysia: T-Team Idam Tewaskan Sabah 10 Okt Nanti

Aksi Indera Putra dan Daud Su ketika T-Team melawan Kelantan pada Liga Super sebelum ini.

Walaupun Sabah pernah kalah kepada T-Team dalam Liga Super, namun itu tidak boleh dijadikan ukuran dan sandaran apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam pertandingan Piala Malaysia 10 Oktober depan.

Jurulatih T-Team, Yunus Alif (gambar kanan) malah berkata Sabah mungkin menjadi ancaman utama kepada Terengganu dalam pertandingan berprestij itu nanti.

"Pertandingan Liga Super tidak boleh dijadikan ukuran dan perbandingan kerana semua pasukan mahu merebut Piala Malaysia, piala terakhir dan teragung dalam Liga Malaysia," katanya semalam.

Yunus berkata dalam menghadapi perlawanan nanti beliau telah mengarahkan pemain T-Team lebih bersunggu-sungguh kerana semua perkara boleh terjadi dalam perlawan itu nanti.

Beliau berkata tidak mustahil Sabah boleh menundukkan T-Team walaupun pasukan Terengganu itu mempunyai barisan pemain ternama dan berpengalaman.

Yunus berkata untuk mengekalkan momentum, T-Team perlu menyerang habis-habisan sealain memantapkan barisan pertahanan bagi memastikan pasukan itu mencapai kejayaan.

Terengganu akan berkunjung ke Sabah pada 10 Okt untuk perlawanan pusingan pertama sebelum berdepan pasukan itu di pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 14 Okt.

Yunus berkata di Sabah nanti, T-Team perlu sekurang-kurangnya seri untuk dijadikan bekalan bertemu di pusingan kedua di sini.

Dalam pada itu, beliau berharap pemain T-Team tidak mengalami sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan peluang pasukan melangkah ke pusingan separuh akhir.

Beliau berkata ketika ini tiga pemain tonggak T-Team mengalami kecederaan iaitu Haris Safwan Mohd Kamal, Indera Putra Mahayuddin dan Mohd Fitri Omar yang diharapkan akan pulih sebelum perlawanan bermula.

No comments:

Post a Comment