Polis memburu seorang pemandu lori yang disyaki melepaskan tembakan ke arah seorang warga Indonesia dengan menggunakan sepucuk pistol, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kejadian di sebuah rumah di Kampung Cacar, Paka, Dungun, pukul 4.30 petang itu, dipercayai bermotifkan dendam.
Katanya, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor itu berada di rumah sebelum didatangi suspek yang memandu kereta Proton Waja bersama seorang lagi penumpang.
“Sebaik sahaja turun dari kereta, suspek terus menghampiri mangsa dan mengeluarkan sesuatu dari poket yang dipercayai pistol sebelum menghalakan ke arah mangsa.
“Namun cubaan suspek untuk menembak mangsa gagal apabila pistol itu tidak berfungsi. Mangsa yang panik melarikan diri sebelum terdengar bunyi kuat seperti tembakan yang dilepaskan suspek,” katanya kepada pemberita di Kuala Terenggnu semalam.
Manoharan berkata, hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa pernah membuat laporan polis terhadap suspek tahun lalu kerana cuba menikamnya tetapi polis tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk menahan lelaki itu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis ingin menghubungi Abd. Rahman Abu Bakar, 55, berasal dari Kampung Cacar, Paka, Dungun bagi membantu siasatan kes itu.
“Polis kini memburu suspek yang dipercayai berada di sekitar Dungun dan Kemaman dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” ujar beliau.
Tambahnya, pihak polis juga mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya membuat aduan.
No comments:
Post a Comment