Tuesday, October 18, 2011

Jabatan Perikanan Terengganu Perketat Pemeriksaan, Cegah Ketirisan Hasil Tangkapan

Jabatan Perikanan Terengganu akan mengetatkan pemeriksaan terhadap bot laut dalam di negeri ini bagi memastikan hasil tangkapan mereka menepati buku laporan operasi.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Zakaria Ismail berkata ini kerana wujud ketirisan ketika pendaratan hasil tangkapan yang didapati tidak sama dengan kertas laporan operasi.

"Kita hantar beberapa orang pegawai untuk membuat pemeriksaan apabila bot itu berlabuh untuk mendaratkan ikan di pangkalan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan subsidi diesel jika bot berkenaan melanggar syarat iaitu pendaratan tahunan kurang daripada 350 tan metrik bagi pukat tunda dan 250 tan metrik untuk pukat jerut.

Terdapat kira-kira 110 buah bot laut dalam seperti bot pukat tunda dan pukat jerut beroperasi di negeri ini.

Dalam pada itu, Zakaria berkata pendaratan ikan segar di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini agak rendah iaitu sebanyak 32.751 tan metrik berbanding 72.921 tan metrik sepanjang tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau yakin keadaan itu akan berubah pada musim tengkujuh nanti memandangkan hasil tangkapan ketika musim tersebut lazimnya banyak.

Terengganu adalah antara negeri penyumbang terbesar dalam sektor perikanan negara iaitu antara enam hingga tujuh peratus setahun dan jumlah itu dijangka akan meningkat pada masa akan datang, katanya.

No comments:

Post a Comment