Monday, October 10, 2011

Penunggang Thailand Juara Cabaran Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2011

Wipawan Pawitayalarp dari Thailand meraih tempat pertama untuk memenangi hadiah wang tunai RM63,000 dan seutas jam tangan AmaSwiss bernilai RM54,000 pada kejohanan kuda lasak Piala Sultan Mizan 2011.

Beliau yang menunggang Mulawa Angelus menamatkan pertandingan sejauh 120km itu dengan catatan masa 6:17:43 pada purata kelajuan 19.06km sejam. Ini merupakan kali ketiga Wipawan, 35, mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Cabaran Endurance Piala Sultan Terengganu..


Mohammad Fuad Hashim dari pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET), yang menunggang M Marlon, menduduki tempat kedua dengan catatan masa 6:29:17, dan membawa pulang RM44,000.

M Marlon turut memenangi anugerah "Best Conditioned Horse Award" dan untuk itu Mohd Fuad menerima tambahan hadiah wang tunai sebanyak RM18,000.

Tempat ketiga dimenangi Zelma Lotter yang menunggang Nashaar, menerima RM32,000 selepas menamatkan pertandingan dalam masa 7:02:35.

Menamatkan pertandingan dengan catatan masa 7:38:30 dengan menunggang Shardell Galazan, Warit Khuntarhporn di tempat keempat manakala Mohd Sulaiman Muda yang menunggang Jakim Murphy di tempat kelima dengan catatan masa 8:15:15. Pemenang tempat kempat menerima RM19,000 dan kelima, RM13,000.

Sejumlah 11 penunggang yang berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 120km itu diberi sebanyak RM6,000 dan gancu, yang merupakan amalan tradisi sukan kuda lasak.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, menunggang RTES Smith, kuda berusia sembilan tahun, adalah antara 53 penunggang Malaysia yang mewakili pasukan-pasukan dari seluruh negara.

Peserta lain ialah dari Perancis, Australia, Slovakia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut hadir pada majlis penyampaian hadiah hari ini.

Dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri Terengganu dan Royal Terengganu Endurance Stable, Piala Sultan Mizan 2011 berlangsung dari Jumaat hingga hari ini di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong dekat Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment