Lebih 20,000 orang dijangka berkampung di Terengganu bagi menyertai pesta Loy Kratong yang akan diadakan secara besar-besaran selama dua hari mulai 4 Nov ini.
Pengerusi tetap Persatuan Loy Krathong Terengganu Chan Tom berkata pesta kali ke-12 di Green Acres Golf and Country Resort di Kuala Terengganu, merupakan Pesta Loy Krathong 1Malaysia yang terbesar setakat ini.
“Kita mempunyai beberapa acara yang menarik pada tahun ini, antaranya pertandingan ratu Loy Krathong, kereta berhias yang akan mengelilingi bandar Kuala Terengganu, tarian Loy Krathong, persembahan artis dari Thailand, menghanyutkan bunga Loy Khatong ke air dan lain-lain.
“Kita menjangkakan lebih 20,000 peserta, terutama dari keturunan Siam dan mereka yang berminat dengan pesta berwarna-warni ini, akan menyertainya,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Publisiti, Protokol dan Program Datuk Dr Alex Ong.
Chan Tom berkata pada pesta itu, persatuannya akan menggubah 10,000 bunga Loy Krathong untuk dijual kepada orang ramai pada harga RM10 setiap satu.
Beliau berkata hasil jualan bunga itu akan disumbangkan kepada sekolah serta membantu mangsa banjir di Thailand.
Sementara itu, Ong berkata kehadiran yang ramai pada pesta Loy Krathong kali ini mampu menyumbang terhadap ekonomi, terutama kepada pengusaha dan peniaga di negeri ini.
“Berdasarkan pengalaman tahun lepas, peminat Loy Krathong bukan sahaja datang dari dalam negara, malah peminat dari Thailand, Singapura dan Hong Kong pun ramai berkunjung untuk menyaksikan pesta kebudayaan Siam itu,” katanya.
Loy Krathong adalah pesta kebudayaan Thailand sejak sekian lama dan orang ramai dapat menyaksikan gubahan bunga Loy Krathong (bunga teratai) yang kemudian dihanyutkan ke sungai dengan niat mendapatkan kebaikan atau keuntungan.
No comments:
Post a Comment