Monday, October 24, 2011

YIT Cetak 5,000 al-Quran Digital

Ahmad Said (kiri) mencuba al-Quran Digital sambil diperhatikan Pengarah YIT, Haji Md Kamaru al Amin.

Terengganu mampu berbangga apabila satu lagi teknologi baru, al-Quran Digital telah diperkenalkan Yayasan Islam Terengganu (YIT) bagi memudahkan pembacaan al-Quran di kalangan masyarakat.

Naskah itu merupakan buku elektronik yang dilengkapi 30 juzuk al-Quran di samping menggunakan teknologi skrin sesentuh selain berupaya mengeluarkan suara bagi memudahkan pengguna mendengar setiap bacaan dialunkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, cetakan pertama berjumlah 5,000 naskah itu menjadikan Terengganu berjaya menambah satu lagi usaha dalam menjadikan masyarakat di negeri ini celik al-Quran.

Katanya, selain mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), naskah yang dijual dengan harga RM330 seunit itu didatangkan dengan terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Justeru, saya berharap masyarakat dapat mengambil peluang memanfaatkan kemudahan yang telah diperkenalkan ini agar didikan awal al-Quran dapat diterapkan dalam jiwa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan di Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Teganukita

No comments:

Post a Comment