Thursday, October 13, 2011

PPNT Tanam Kelapa Sawit Di Tanah Berkelompok

Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) merancang membangunkan tanah berkelompok di negeri ini dengan tanaman kelapa sawit.

Pengerusi PPNT Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata sebagai projek perintis, PPNT memajukan kawasan seluas hampir 400 hektar di daerah Besut dengan tanaman itu.

"Projek itu diserahkan kepada pertubuhan peladang kawasan (PPK) untuk mengendalikannya," kata Wan Zakaria yang juga anggota jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) selepas menyerahkan zakat Nafas RM651,500 kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Datuk Mazlan Hashim.

"Projek tersebut bukan sahaja akan memanfaatkan PPNT, malah pemilik tanah berkenaan apabila tanaman itu mengeluarkan hasil. Segala modal kita akan tanggung sementara pemilik tanah hanya menerima faedah sahaja," katanya.

Wan Zakaria berkata terdapat beribu-ribu ekar tanah terbiar di Terengganu, terutama di kawasan Besut dan Setiu.

Di Terengganu, katanya terdapat 15 PPK dengan keanggotaan seramai 40,000 orang.

Selain tanah terbiar, PPNT juga aktif membahagikan anak-anak kelapa sawit kepada anggotanya untuk ditanam di sekeliling rumah bagi menambahkan hasil pendapatan sampingan.

Sebagai khidmat kepada peladang, beliau berkata PPNT menyediakan jentera membajak sawah dan jentera menunai padi kepada petani bagi meringankan beban petani dalam mengerjakan sawah serta menjimatkan kos.

Beliau berkata tahun lepas, nilai urus niaga PPNT hampir RM40 juta dengan keuntungan RM2.27 juta.

No comments:

Post a Comment