Thursday, October 13, 2011

950 Graduan KIST Terima Diploma Masing-Masing

Aisyah Ahmad Khusairi (kanan) bersama Anis Syahirah Salleh pada majlis Konvokesyen Kolej Islam dan Teknologi (KIST) baru-baru ini.

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang sedang berkembang menjadi sebuah kolej universiti, mengadakan konvokesyen kali keempatnya di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Seramai 950 graduan daripada 10 program terlibat dalam majlis itu yang berlangsung di dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam termasuk 176 orang bagi Diploma Psikologi.

Bagi Diploma Pembantu Perubatan, ia melibatkan 84 graduan manakala Diploma Radiografi Diagnostik (123) dan Diploma Sains Senaman dan Sukan (82), Diploma Teknologi Makmal Perubatan (146), Diploma Kesihatan Persekitaran (60) dan Diploma Syariah (31).

Seramai enam graduan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan 15 graduan Diploma Pembantu Farmasi merupakan kumpulan perintis program pengajian yang diperkenalkan pada 2008 itu.

Selain itu, 57 graduan diploma pelbagai bidang serta 15 graduan Sijil Pembantu Kesihatan Awam juga merupakan keluaran pertama KIST dengan tajaan Kementerian Kesihatan.

Seramai 22 graduan dalam pelbagai disiplin pengajian merupakan kumpulan yang ditaja oleh Kementerian Pertahanan bakal berkhidmat di klinik dan hospital kendalian Angkatan Tentera Malaysia di dalam dan luar negara.

Majlis penyampaian diploma dan sijil disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad dan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Penasihat KIST, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Presiden KIST, Muhammad Zamly Abdullah.

Graduan Diploma Psikologi kampus Terengganu, Aisyah Ahmad Khusairi, 24, diumumkan sebagai penerima Anugerah Datuk Razali pada majlis tersebut.

Anak sulung dari tujuh beradik itu yang sebelum ini gagal memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di Universiti Multimedia menjadikan KIST untuk menebus kekecewaannya.

"Pada mulanya saya hampir putus asa untuk kembali belajar. Bukan saja masa telah terbuang, wang yang dilaburkan oleh ibu bapa sepanjang tiga tahun habis begitu saja.

"Hari ini, saya tebus balik kegagalan itu dan menggembirakan hati keluarga," katanya yang turut merangkul Anugerah Emas Presiden dan Anugerah Pelajar Terbaik (Diploma Psikologi).

Aisyah, anak kepada usahawan tani, Ahmad Khusairi Mohd. Saufi, 52 dan ibunya bekas guru, Rohaya Abdul Rahim, 49, memberitahu, dalam bilik kuliah tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap apa yang diajar pensyarah.

Selain memperoleh Anugerah Emas Presiden, Anis Syahirah Salleh turut meraih Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Diploma Pembantu Farmasi, Dayang Nor Fazrina Dayang Rosdi (Teknologi Makmal Perubatan) dan Wee Chai Lin (Sains Senaman dan Sukan).

Kolej swasta terbesar di Pantai Timur itu kelak akan mempunyai kampus bernilai kira-kira RM100 juta yang kini dalam proses untuk dibangunkan.

KIST telah menyiapkan kampus di Jitra, Kota Kinabalu dan Kuching, serta merancang membuka empat lagi di Pahang, Perak, Johor dan Melaka.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment