Anggota polis memeriksa salah sebuah van rokok yang disamun lapan lelaki di kawasan masjid di Kampung Pulau Panjang, Besut kelmarin.
Sekumpulan lapan penjenayah menyamun dua pemandu van sebuah syarikat rokok dengan melarikan beratus karton rokok, wang dan jam tangan bernilai hampir RM82,000 kelmarin.
Kejadian pukul 1.50 petang di Kampung Pulau Panjang, itu berlaku ketika Azmi Mat Ali, 43, dan Othman Mamat, 44, masing-masing memandu sebuah van, sedang berhenti di kawasan masjid tersebut untuk melepaskan lelah dan menunaikan solat Zuhur.
Suspek menghentak kepala salah seorang mangsa ke stereng sebelum mengikat tangan dan menutup matanya untuk melarikan kesemua barang berharga itu.
Difahamkan, ketika itu, Othman membawa 233 karton rokok bernilai RM23,715 manakala Azmi pula membawa 250 karton bernilai RM27,810. Selain rokok, wang RM17,000 milik syarikat dan jam tangan jenama Rado milik Othman bernilai RM5,000 juga dilarikan.
Mengimbau semula kejadian itu, Othman memberitahu, sebaik tiba, dia didatangi seorang lelaki yang terus menghentak kepalanya ke stereng.
Ceritanya, suspek kemudian telah memegang kepalanya dan mengarahkannya menyerahkan kesemua wang yang dibawa.
“Tidak lama kemudian, tujuh lagi rakannya yang menaiki dua buah kereta tiba lalu mengikat tangan dan menutup mata saya. Azmi yang berada tidak jauh juga menerima nasib serupa,” katanya di sini semalam
No comments:
Post a Comment