Thursday, October 13, 2011

SATU Bekal Dua Juta Liter Air Bersih Sehari di Pulau Perhentian

Dr Hasnul Mohamad Salleh (kiri) bersalaman ketika menyerahkan dokumen Projek Bekalan Air Pulau Perhentian kepada Husain Embong sambil disaksikan Mat Razali Kassim (tengah) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Projek bekalan air bersih ke Pulau Perhentian yang telah siap sepenuhnya Mei lalu menelan kos terbesar bagi penyaluran bekalan ke pulau-pulau di negara ini.

Projek bagi kemudahan penduduk tempatan dan pengunjung di pulau peranginan itu menelan kos sebanyak RM60.75 juta dan mengambil masa lebih empat tahun.

Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Razali Kassim berkata, Syarikat Air Terengganu (SATU) kini mampu membekalkan dua juta liter air bersih sehari kepada kira-kira 1,600 penduduk.

''Ia turut memberi manfaat kepada lebih 40 pengusaha pusat pelancongan di pulau yang menerima kedatangan pelancongan hampir 90,000 setahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Pulau Perhentian daripada Jabatan Bekalan Air Malaysia kepada SATU di Wisma Darul Iman di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air, Ir. Dr. Hasnul Mohamad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Husain Embong.

Menurutnya, projek yang bermula Februari 2006 itu melibatkan pemasangan paip di dasar laut sepanjang 22 kilometer dari Bukit Bubus, ke Pulau Perhentian Besar dan pembinaan tangki air berkapasiti 1.82 juta liter di pulau itu.

"Selain pembinaan tangki air berkapasiti 0.75 juta liter di Bukit Bubus, termasuk dalam projek berkenaan pemasangan paip kepada pengguna sepanjang 4 kilometer di Pulau Perhentian Kecil dan 1 kilometer di Pulau Perhentian Besar," katanya.

Mat Razali berkata, projek berkenaan memakan masa berikutan pihak pemaju melaksanakan pembinaan mesra alam bagi menjaga terumbu karang di taman laut serta kawasan hutan berbukit di kedua-dua pulau itu.

"Pihak kementerian memaklumkan, projek bekalan air bersih di Pulau Perhentian ini adalah yang terbesar di Malaysia pernah dilaksanakan dan ia mampu membekalkan air terawat untuk generasi akan datang," katanya.

Sebelum ini, katanya, penduduk dan pengusaha pelancongan di pulau berkenaan menggunakan bekalan air melalui loji air bawah tanah yang dibina oleh SATU di Pulau Perhentian Besar.

"Bagaimanapun, loji itu tidak dapat menampung keperluan penduduk terutama pada musim kemarau selain airnya yang berasa payau dan penggunaan minyak diesel turut mendedahkan kepada faktor pencemaran di taman laut," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment