"Minggu Kesedaran Kewangan 2011" bermula di gedung membeli belah The Village Mall di Sungai Petani, semalam.
Acara itu yang bertemakan "Financial Literacy, Happy Life" (Celik Kewangan, Kehidupan Gembira), diadakan di Johor Baharu tiga tahun lepas, Kuala Terengganu pada 2009 dan di Kota Kinabalu tahun lepas.
Bank Negara berkata acara tahun ini disasarkan untuk meluaskan lagi program capaian pendidikan pengguna kepada masyarakat luar bandar dan perniagaan kecil di wilayah utara.
Program itu akan dijalankan secara interaktif, memperkenalkan antara muka dan meningkatkan pengalaman pengguna dengan memberikan nasihat dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan khusus pelbagai kumpulan pengguna dan komuniti perniagaan yang disasarkan, kata bank pusat.
Bank pusat itu berkata aktiviti akan bermula dengan beberapa siri kunjungan dan seminar mengenai pendidikan kewangan bagi kumpulan yang disasarkan termasuk pegawai kerajaan, badan beruniform, kolej dan universiti.
Ia kemudiannya diikuti pameran pendidikan kewangan dan sesi seminar harian mengenai perusahaan kecil dan sederhana dan pembiayaan mikro.
Orang ramai, PKS dan usahawan pembiayaan mikro dipelawa untuk mengunjungi dan menyertai program itu yang akan berakhir pada 18 Okt.
Butiran terperinci mengenai acara itu boleh dilayari di www.m2k.com.my atau dengan menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465.
Minggu Kesedaran Kewangan itu merupakan inisiatif bersama antara bank pusat, Suruhanjaya Sekuriti, Biro Pengantaraan Kewangan, Agensi Pengurusan Hutang dan Kaunseling Kredit dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Persatuan Bank-Bank di Malaysia juga akan menyertai acara tahun ini bersama dengan Persatuan Insurans Am Malaysia dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia.
No comments:
Post a Comment