Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menyasarkan untuk menyalurkan RM300 juta agihan dana kepada peminjam yang layak menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan (gambar kanan) berkata, walaupun setiap tahun pihaknya memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta, namun yakin dapat mencapai jumlah RM300 juta berikutan permintaan yang semakin meningkat daripada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata, PKS di negara ini semakin berkembang dan disebabkan itu juga, Tekun sentiasa memastikan PKS yang memerlukan modal untuk perniagaan dapat dipenuhi.
“Setakat Ogos 2011, Tekun sudah pun menyalurkan kira-kira RM208 juta pinjaman yang membabitkan 22,000 peminjam di seluruh negara dan memandangkan cadangan untuk menambah dana Tekun kepada RM300 juta setahun pada Belanjawan 2012 lalu, kami percaya akan dapat membantu lebih ramai PKS yang memerlukan pembiayaan.
“Malah, pembiayaan Tekun bukan saja boleh dimohon PKS yang ingin memerlukan modal untuk memulakan perniagaan, tetapi juga mereka yang mahu meluaskan perniagaan sedia ada,” katanya.
Menurutnya, Tekun akan memastikan dana diperuntukkan untuk membantu PKS Bumiputera itu dapat digunakan sebaik-baiknya bagi mereka yang memang layak untuk diberi pinjaman terutama PKS yang mahu menerokai pasaran lebih besar.
Beliau berkata, dengan jumlah peruntukan baru RM300 juta itu juga nanti secara tidak langsung membolehkan proses permohonan pinjaman boleh dijalankan lebih cepat berikutan mempunyai dana yang mencukupi.
Tekun memperkenalkan 10 skim pembayaran pinjaman kepada PKS apabila modal yang ditawarkan adalah serendah RM500 hingga RM50,000 manakala tempoh pembayaran pula bermula dari enam bulan sehingga 60 bulan.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment