Wednesday, October 5, 2011

Terengganu Antara 12 Pasukan Bakal Berentap Kejohanan Bola Jaring

Pasukan Wilayah Persekutuan yang menjadi johan pada kejohanan ke 32 tahun lalu.

Sebanyak 12 pasukan termasuk juara bertahan Wilayah Persekutuan akan berentap merebut kejuaraan pada Kejohanan Bola Jaring peringkat kebangsaan kali ke-33 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di Alor Setar mulai esok.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia Suraya Yaacob berkata kejohanan pada 5 hingga 8 Okt itu julung kali dianjurkan di luar Lembah Klang dan pasukan-pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan.

Beliau berkata juara bertahan Wilayah Persekutuan dijangka mendapat laluan mudah apabila akan berhadapan dengan Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kumpulan A manakala dalam kumpulan B Selangor akan bertemu Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kumpulan C pula melibatkan Johor, Sabah dan Perlis manakala Kedah akan menerima tentangan hebat daripada Perak dan Terengganu dalam saingan Kumpulan D.

"Kejohanan ini menjadi medan untuk kami memilih beberapa pemain skuad bola jaring kebangsaan yang akan bersaing pada kejohanan Asia di Sri Lanka tahun depan," katanya kepada pemberita di sini.

Suraya berharap orang ramai dapat hadir menyaksikan kejohanan itu kerana masuk adalah percuma serta berpeluang melihat persembahan yang bertenaga daripada pemain yang mewakili setiap negeri.

Perasmian penutup dijangka disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

No comments:

Post a Comment