Wednesday, October 5, 2011

Razif Nafi BN Seberang Takir Harapkan Undi Pos

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan dakwaan pemimpin Pas bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) mengharapkan undi pos untuk menang di kerusi Dun Seberang Takir.

Beliau yang juga Adun kawasan tersebut berkata, majoriti yang diperoleh sebelum dicampurkan dengan undi pos sudah memihak kepada BN dan menganggap ia hanya ala-san Pas kerana tewas di kawasan itu pada pilihan raya yang lalu.

Menurutnya, pembangkang sebenarnya menerima keputusan kemenangan BN kerana tiada sebarang bantahan atau ketidakpuasan hati dibuat berhubung kemenangan yang diperolehnya.

“Dakwaan itu tafsiran sahaja dan terpulang kepada mereka. Kita tidak tahu sama ada undi pos menyebelahi kita atau tidak dan mereka sedia memperakui majoriti yang kita menang kerana tiada bantahan dibuat.

“Kalau ada, sudah tentu mereka akan membuat bantahan tetapi tiada aduan pun diterima dan menunjukkan mereka puas hati,” katanya di Kuala Terengganu.

Katanya, beliau hanya kalah dengan majoriti tipis di peti undi Kampung Batin, manakala menang di kesemua peti undi di Bukit Tok Beng, Teluk Ketapang dan Tok Jembal.

“Semua kawasan yang kita menang tiada undi pos dan tidak betullah sekiranya mereka kata BN bergantung kepada undi pos. Kita tidak nampak bahawa undi pos menjadi penyebab kekalahan mereka,” katanya.

Ahmad Razif menang dengan majoriti 2,430 undi pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Mac 2008, mengalahkan calon PKR.

Beliau berkata, alasan pembangkang yang menyalahkan undi pos disebabkan kebimbangan mereka kerana masyarakat menyambut baik apa yang telah dilakukan kerajaan di bawah pimpinan BN.

Sehubungan itu, Ahmad Razif turut meminta pembangkang tidak memasang angan-angan untuk memerintah negeri ini pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, beberapa perubahan yang dilakukan pucuk pimpinan turut memperlihatkan keyakinan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada parti itu memerintah negeri dan negara.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment